fbpx

PRU15 : Calon BN di Kelantan diketahui dalam tempoh seminggu lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Jazlan (tengah) selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Bangunan UMNO Kelantan, Kota Bharu malam tadi.

KOTA BHARU – Keputusan muktamad senarai calon UMNO yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diketahui dalam masa seminggu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, senarai calon sudah dikemukakan kepada ‘Top 5’ (lima pemimpin tertinggi) termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, namun ia masih belum diputuskan setakat ini.

Menurutnya, bagaimanapun, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi UMNO dalam tempoh beberapa hari lagi untuk memutus dan memperincikan senarai calon BN yang akan diketengahkan pada PRU15.

“Keputusan mengenai senarai calon itu akan diketahui dalam masa seminggu lagi. Saya akan memohon kepada presiden parti agar saya dapat mengetahui lebih awal senarai calon terpilih untuk memberi maklumat kepada setiap pengerusi di Parlimen dan ketua bahagian.

“Kita mengemukakan lima nama untuk setiap kerusi bagi 14 Parlimen di Kelantan. Calon-calon yang terpilih terdiri daripada pelbagai latar belakang merangkumi orang muda, wanita, ahli akademik dan orang politik. Jadi, terpulang kepada pemimpin tertinggi untuk memilih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Bangunan UMNO Kelantan di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, menurut Ahmad Jazlan, lima nama calon telah dipilih bagi setiap kerusi Parlimen telah melalui tapisan yang halus agar UMNO Kelantan dapat menghidangkan calon terbaik dalam PRU15.

Katanya, calon yang terpilih bukan hanya sekadar bertanding dan paling penting adalah kemenangan BN di Kelantan pada PRU15.

“Selain mempertahankan lima kerusi Parlimen BN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita yakin dapat menambah bilangan kerusi sekiranya rakyat memberi sokongan kepada kita.

“Melihat kepada perkembangan politik Kelantan mutakhir ini, saya juga yakin rakyat seolah-olah sudah bersedia untuk memberi sokongan kepada BN,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Jazlan berkata, BN juga akan meletakkan calon di kesemua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya kerajaan Kelantan mengubah pendirian untuk membubar DUN selepas ini.

Ujarnya, langkah itu dilakukan apabila Pas membuat keputusan untuk kekal bersama Perikatan Nasional pada PRU15 sekali gus memutuskan hubungan dalam Muafakat Nasional. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI