BAGAN DATUK – Sebanyak 70 peratus daripada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah terdiri daripada muka baharu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan memastikan muka baharu itu adalah berkaliber, memiliki kelayakan akademik dan akhlak yang baik serta mempunyai komitmen tinggi untuk membantu rakyat.
Presiden UMNO itu mengakui keputusan itu bukan mudah tetapi perlu dilakukan supaya rakyat dapat melihat BN sudah berubah untuk memenuhi keperluan rakyat.
“Tetapi, sebagai Pengerusi BN dan Presiden parti, saya perlu berlaku adil, perlu kekalkan juga muka lama agar ada keseimbangan dan keadilan,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.
Menurut Ketua UMNO Bagan Datuk itu, pihaknya juga akan cuba memenuhi permintaan agar 30 peratus daripada calon BN adalah golongan wanita. – KOSMO! ONLINE