KUALA LUMPUR – Aktor berkaliber Zul Huzaimy menasihatkan para pelakon generasi baharu agar memperkuatkan kemahiran asas sekiranya mahu kekal lama dalam industri seni.
Luah Zul, 43, ramai pelakon baharu tidak memiliki kemahiran asas seperti lesen memandu dan seni pertahanan diri bagi membuatkan lakonan meninggalkan impak kepada penonton.
“Saya ambil contoh Tom Cruise, dia boleh berlawan, menerbangkan helikopter malah juga jet pejuang.
“Namun, pelakon kita, disuruh tunggang motosikal pun tidak pandai. Disuruh memandu kereta, lesen pula tiada,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Aktor yang terkenal dengan watak Spark dalam filem Remp-IT turut memberitahu, pelakon beragama Islam juga tidak seharusnya memandang remeh perkara asas seperti mengaji al-Quran.
“Kata orang Islam tetapi diminta mengaji ketika berlakon tidak pandai.
“Itu adalah asas wajib sebagai seorang yang beragama Islam. Perlu tahu mengaji.
“Jadi, seorang pelakon perlu tahu perkara asas. Kalau orang Islam, perlu pandai mengaji dan bersilat. Sudah cukup sekiranya dua perkara ini dapat dilakukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemilik nama penuh Zul Huzaimy Marzuki itu juga berpendapat menghadiri kelas lakonan sahaja tidak cukup untuk mendalami ilmu lakonan.
Ujarnya, pelakon yang baik perlu keluar ‘berjumpa’ dengan dunia sebenar bagi mendapatkan emosi yang tepat dalam lakonan.
“Setakat pergi ke kelas lakonan tidak cukup. Kalau hendak berlakon jadi samseng pun, pergilah jumpa gengster.
“Itu yang pelakon kita kena belajar supaya tidak nampak keras.
“Pernah saya ajak pelakon baharu pergi memancing, dia kata nak pergi ke spa. Ajak naik kuda tetapi hendak ke gimnasium.
“Jika mempunyai keinginan begitu, usah jadi pelakon, jadi model sahaja,” katanya yang kini sibuk mempromosikan filem terbaharunya, Daddyku Gangster.
Selain Zul Huzaimy, Daddyku Gangster yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 1 Disember depan turut dibarisi Faizal Hussein, Adeline Tsen, Jay Iswazir dan Ridzuan Hashim. – KOSMO! ONLINE