GERIK – Tindakan seorang lelaki mengelak pokok tumbang mengakibatkan motosikal ditunggangnya bertembung sebuah motosikal lain di Kilometer 16, Jalan Pengkalan Hulu-Gerik, Pengkalan Hulu di sini hari ini.
Kejadian mengorbankan penunggang motosikal jenis Honda Wave, Mohamad Shah Abd. Hamid, 45, di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Seorang lagi mangsa lelaki berusia 22 tahun yang penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC parah dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan membabitkan dua buah motosikal itu pada pukul 7.45 pagi.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Klian Intan telah masuk ke laluan bertentangan bagi mengelak pokok tumbang yang melintang di laluannya.
“Sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang datang dari arah bertentangan tidak dapat mengelak lalu bertembung dengan motosikal mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi lelaki cedera parah di kepala dan kini berada di Zon Merah Hospital Baling,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kemalangan berlaku ketika hujan dan motosikal kedua-dua mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan. – KOSMO! ONLINE