SEBERANG PERAI – Polis menyangkal dakwaan kejadian kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Perusahaan Sungai Lokan di sini, Rabu lalu angkara dikejar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, siasatan mendapati kemalangan yang berlaku pada pukul 5.20 petang itu semasa dua anggota URB dalam perjalanan menghala ke Sungai Dua.
“Semasa kemalangan terbabit, dua anggota URB sedang menjalankan rondaan melalui Jalan Sungai Lokan. Tidak ada aksi mengejar salah seorang penunggang motosikal sehingga menyebabkan kemalangan seperti yang didakwa.
“Berdasarkan rakaman video terbabit juga jelas menunjukkan mangsa telah memotong motosikal URB sebelum merempuh sebuah lagi motosikal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, anggota URB tersebut sebaliknya telah memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan dan menjalankan kawalan trafik bagi melancarkan lalu lintas.
Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, orang awam dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang spekulasi dan andaian sendiri tanpa usul periksa mengenai kejadian terbabit sehingga menimbulkan kegusaran kepada orang lain.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 40 saat di laman sosial Facebook berhubung kemalangan dua motosikal didakwa disebabkan dikejar anggota URB.
Video tersebut sehingga kini telah mendapat 143,000 tontontan, 288 perkongsian, 716 komen dan 5,100 pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial. – KOSMO! ONLINE