fbpx

‘Isteri suruh saya keluar dulu, kaki dia tersepit dashboard’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Redzuan Jamil, 28 bersama isterinya Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28 ketika menunaikan umrah baru-baru ini.

KOTA TINGGI – “Awak keluar dahulu,” antara kata-kata terakhir Allahyarham Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28 kepada suaminya Redzuan Jamil, 28 yang terselamat dalam kemalangan maut di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Sedenak di sini malam tadi.

Redzuan berkata, ketika kejadian dia dan isteri dalam perjalanan dari Kluang menuju ke Gelang Patah untuk ke stadium menyaksikan perlawanan bola Johor Darul Takzim (JDT).

Katanya sebelum kejadian berlaku, terdapat kemalangan dihadapannya dan laluan sesak menyebabkan kereta semua berhenti.

“Yang saya sedar ada impak dari belakang dan dapati sebuah lori telah melanggar tiga buah kereta termasuk kereta saya. Ketika itu isteri menyuruh saya keluar dari kereta terlebih dahulu untuk menyelamatkan diri. Dia minta saya keluar dari kereta memang ada satu jalan dari cermin atas kepala jadi dia kata awak keluar dahulu.

“Saya terus keluar kemudian cuba untuk selamatkan dia tetapi tak sempat. Saya sempat kopak cermin depan cuba tarik dia dari depan tetapi tak boleh.

“Saya cuba kopak pintu penumpang pula tetapi dia tak boleh keluar kerana kakinya tersepit di dashboard. Ketika itu kereta saya pula meletup kemudian api mula marak,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Lukut, Kota Tinggi hari ini.

Katanya dia cuba menyelamatkan isterinya ketika api marak namun dia ditarik oleh orang awam yang menyaksikan kejadian itu agar jauh dari api tersebut.

Menurutnya pada saat itu apa yang mampu dilakukan hanya menunggu melihat api membakar keretanya sehingga bomba dan ambulans sampai.

“Tidak panas rasanya di dalam itu. Saya tidak dengar suara isteri meraung malah dia tidak memanggil saya, dia hanya diam sahaja,” katanya.

Redzuan berkata dia telah mendirikan rumah tangga selama tiga tahun bersama isterinya itu namun belum dikurniakan cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI