LISBON – Seekor ikan sunfish gergasi yang merupakan antara spesies paling aneh di dunia disahkan sebagai ikan bertulang paling berat pernah ditemui, lapor akhbar Daily Star semalam.
Bangkai ikan sunfish seberat 2,744 kilogram (kg) itu ditemui di Pulau Faial, Portugal pada Disember 2021, namun pengesahan daripada kajian ke atasnya baru sahaja didedahkan minggu lalu.
Menurut sebuah organisasi pemuliharaan bukan berasaskan keuntungan, Persatuan Naturalis Atlantik, ia dibawa untuk kajian oleh penduduk tempatan supaya penyelidik boleh menganalisis bangkainya.
‘Raksasa’ laut dalam itu berukuran 3.65 meter lebar dan 3.35 meter panjang.
Rekod yang dipecahkan oleh haiwan pemangsa yang kelihatan ganjil itu dahulunya dipegang oleh sunfish lain yang ditemui di luar pantai Jepun pada 1996 dengan berat mencecah 2,300 kg jika menurut Guinness World Records. – Agensi