PETALING JAYA – Pelakon Mimi Lana menangkis dakwaan ramai kononnya berambut pendek kerana mengalami depresi dan putus cinta.
Tampil bersuara, aktres filem Pusaka itu bertegas, perubahan stail rambutnya disebabkan tuntutan watak dalam sebuah filem lakonannya yang tidak sesuai dengan gaya wanita berambut panjang.
“Sampai pernah ada yang cakap saya depresi, putus cinta dan macam-macam lagilah. Bukan sebab itu ya.
“Ini sebahagian daripada tuntutan kerja. Makin lama saya berlakon, semakin banyak cabaran mendatang.
“Kita bukan sahaja korbankan jiwa tetapi juga secara fizikal namun saya sangat sukakan kerja ini,” katanya dalam satu entri Instagram semalam.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 25, imej tersebut juga pernah membuatkan dirinya menangis hampir setiap hari namun harus dihadapnya atas dasar kerja.
“Rambut saya adalah segala-galanya! Memotong rambut pendek bukan satu benda indah buat kaum perempuan seperti saya namun demi watak, terpaksa lakukan juga.
“Apabila rambut pendek, saya rasa seperti hilang semua benda dan menangis setiap hari pada minggu pertama. Bagaimanapun, lama-kelamaan sudah terbiasa,” katanya lagi.
Sekitar Jun lalu, Mimi mencuri perhatian ramai dengan berkongsi foto memaparkan gaya rambut pendek mullet.
Gaya tersebut mendapat pujian ramai malah ada yang memujinya persis penyanyi terkenal Indonesia, Agnez Mo. – KOSMO! ONLINE