LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui benteng pertahanan berdepan tugas sukar untuk merantai gerakan Erling Haaland menjelang aksi getir bertemu Manchester City pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield malam ini.
Kata Klopp, Haaland kini boleh dianggap sebagai penyerang terbaik dunia susulan kejayaannya merekodkan 20 jaringan bersama The Citizens sepanjang musim ini sekali gus menjadi ancaman utama buat pasukan nanti.
“Saya sudah terapkan taktikal bagi mengekang serangan City meskipun di atas kertas, ia nampak mustahil untuk dilakukan kerana mereka memiliki penyerang terbaik dunia menerusi Haaland.
“Namun, kita semua tahu corak permainan City adalah berbeza dan jika anda merantai Haaland, pemain lain pula yang akan mendapat ruang dan peluang menjaringkan gol.
“Secara keseluruhan, saya harap barisan pemain bersedia seratus peratus untuk mengharungi aksi tersebut khususnya di posisi pertahanan kerana ini adalah cabaran terbesar pasukan dalam usaha melakar kemenangan di laman sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Klopp percaya Haaland kini dianggap penyerang terbaik dunia kerana ada ramai pemain berkualiti di jentera tengah yang memberi sokongan kepadanya atas padang.
“Saya tidak terkejut dengan prestasi Haaland ketika ini kerana City memiliki ramai pemain kreatif yang boleh mencipta ruang pada bila-bila masa seperti Kevin De Bruyne, Ilkay Gundogan, Bernardo Silva dan Phil Foden. Mereka telah membentuk gandingan sempurna,” katanya.
Sebagai rekod, ini adalah pertemuan kedua Liverpool dan City musim ini selepas The Reds menang pada aksi Perisai Komuniti dengan kemenangan 2-1 pada Ogos lalu. – AGENSI