ALOR SETAR – Perbezaan usia 19 tahun tidak menjadi penghalang buat pemilik Gerai Roti Canai Janda, Norasiah Abdul Rahman, 48, untuk kembali bergelar isteri kepada seorang pemuda, Adam Afendi Hawahir, 29.
Pasangan mempelai itu selamat diijab kabul selepas solat Asar di Masjid Kampung Kedondong, di sini kelmarin dalam majlis akad nikah yang turut dihadiri oleh anggota keluarga dan rakan terdekat.
Menurut Norasiah yang sudah 15 tahun bergelar ibu tunggal, tiada kata yang mampu diungkapkan kerana pernikahan dengan lelaki hampir separuh usianya itu diibaratkan mimpi.
“Saya tidak pernah bermimpi untuk berkahwin. Selepas bercerai memang tertutup hati saya untuk mana-mana lelaki. Saya cuma nak bekerja dan cari duit.
“Tetapi suami berjaya membuka hati saya semula dan saya sendiri tidak pernah menyangka akan dipertemukan dengan lelaki muda seperti dia. Saya terima ini jodoh saya,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Mengenakan busana pengantin sedondon berwarna putih, Norasiah menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin dan seutas rantai tangan setelah selesai akad dengan sekali lafaz oleh pengantin lelaki.
Menurut Norasiah, walaupun suaminya yang merupakan duda anak satu itu jauh lebih muda, namun perwatakannya sangat matang dan amat mengambil berat tentangnya.
“Apa yang menggembirakan adalah anak-anak saya merestui perkahwinan ini. Begitu juga keluarga belah suami. Anak suami daripada perkahwinan terdahulu yang berusia empat tahun juga sudah manja dengan saya.
“Apabila sudah berkahwin ini saya akan menjaga anaknya itu di sini. Sementara waktu suami yang bekerja sebagai penyelia di Pulau Pinang akan berulang-alik ketika cuti,” katanya yang mempunyai tiga anak.
Cerita Norasiah, dia berkenalan dengan suaminya itu di aplikasi TikTok awal tahun lalu sebelum bertunang selepas Hari Raya Aidiladha.
Katanya, mereka cuma kenal beberapa bulan sebelum lelaki itu melamar dan bertunang.
“Tiada apa yang diharapkan selain berdoa agar perkahwinan ini kekal hingga ke jannah.
“Banyak yang tanya selepas kahwin ini gerai roti canai di Kampung Baru Derang, di sini itu macam mana? Ada yang bergurau suruh letak nama kepada Roti Canai Kahwin pula. Tengoklah macam mana nanti,” ujarnya berseloroh.
Sebelum ini, Gerai Roti Canai Janda yang diusahakan Norasiah bersama anak sulungnya yang juga ibu tunggal, Nurul Nadia Ismail, 28, tular di media sosial setelah kisahnya tersiar di akhbar ini dua tahun lalu. -KOSMO! ONLINE