fbpx

Balu anggota ATM bersyukur dapat rumah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambery Jeffery (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada Mazna (tengah) pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Perumahan Veteran ATM di Kampung Baru Nelayan, Tumpat semalam. -Foto oleh ROHANA ISMAIL

TUMPAT – Balu kepada seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak dapat menahan sebak apabila menerima bantuan rumah di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM.

Mazna Mamat, 46, berkata, suaminya, Mat Resad Salleh, 60, merupakan veteran ATM meninggal dunia tujuh bulan lalu akibat jangkitan Covid-19.

Menurutnya, dia dan arwah suami tinggal sebuah rumah yang uzur di Kampung Baru Nelayan di sini sepanjang 21 tahun perkahwinan mereka amat bersyukur apabila diberikan kediaman baharu.

“Arwah suami tidak sempat merasa tinggal di rumah baharu. Rumah lama telah dirobohkan untuk membina kediaman baharu buat kami sekeluarga.

“Alhamdullillah, rumah ini cukup sempurna untuk saya tinggal bersama dua daripada tiga orang anak. Ia dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua tandas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Perumahan Veteran ATM kepada tiga penerima di Kampung Baru Nelayan di sini semalam.

Menurut Mazna, arwah suaminya tidak memperoleh pencen selepas berhenti sebagai anggota tentera.

Katanya, dia kini bekerja sebagai pembantu kantin sekolah untuk mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan dan menyara anak-anak.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Zambery Jeffery Darus berkata, sebanyak RM4.95 juta diperuntukan untuk program baik pulih dan bina baharu di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM pada tahun ini.

Menurutnya, ia membabitkan sebanyak 151 rumah untuk baik pulih dan 31 buah rumah baharu yang dibina di seluruh negara.

“Setiap rumah baharu yang dibina menelan kos sebanyak RM85,000. Daripada jumlah itu, JHEV menyumbangkan sebanyak RM65,000 manakala selebihnya ditanggung Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Ia merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan dalam menjaga kebajikan pesara tentera yang tergolong dalam kelompok B40 kerana tidak mempunyai rumah atau tinggal dalam kediaman yang daif,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI