AMPANG – Gara-gara tidak puas hati berhubung isu pembahagian harta, seorang pemandu lori membakar kereta abang kandungnya dalam satu kejadian di Taman Sri Watan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.19 petang.
“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat rentetan isu harta keluarga dan suspek bertindak membakar kereta milik abangnya jenis Toyota Vios yang di parkir di hadapan rumah.
“Terdapat kesan terbakar pada sebelah kiri dan kanan kenderaan serta bahagian enjin selain menemui satu tong biru dengan kesan minyak dipercayai digunakan suspek sewaktu kejadian,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang berusia 35 tahun dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM5,000.
“Polis berjaya menahan lelaki berusia 32 tahun yang merupakan adik mangsa di sekitar pukul 5.40 petang semalam.
“Suspek bekerja sebagai pemandu lori dan hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod lampau kesalahan jenayah. Ujian air kencing menunjukkan suspek negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek direman tiga hari sehingga Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.