GEORGE TOWN – UMNO Pulau Pinang mempunyai pendirian tersendiri untuk terus menjalinkan hubungan baik dengan Pas negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan berharap satu keputusan positif dapat dicapai.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya yakin dan berharap kepimpinan UMNO Pusat dapat mencari solusi terbaik supaya isu kerjasama dengan parti itu dapat diselesaikan dengan baik.
Bagaimanapun katanya, pihaknya akur dengan sebarang keputusan meskipun pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sudahpun memutuskan untuk bergerak solo.
“Di Pulau Pinang, kepimpinan Pas dengan UMNO sangat rapat dan mereka tiada masalah.
“Sebolehnya pucuk pimpinan Pas dapat timbang balik keputusan, selesai dengan baik. Di Pulau Pinang lain, kemesraan dengan Pas sangat rapat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran jentera pilihan raya Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pulau Pinang bagi PRU15, di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Musa yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang memberitahu, UMNO Pulau Pinang juga berharap sebolehnya dapat mengelak pertembungan dengan calon Pas pada PRU15 setelah melihat implikasi yang berlaku pada PRU14 lalu.
“Jika terpaksa menentang calon Pas juga, kita akur dan menganggap ia seperti pertandingan antara sahabat dan akan mengelak kempen yang mengutuk atau membenci antara satu sama lain,” ujarnya.
Mengulas mengenai keyakinan BN untuk kembali merampas semula kerajaan negeri DAP, beliau memberitahu, semestinya memasuki gelanggang PRU adalah untuk menang namun keputusan tersebut hanyalah terletak pada rakyat yang mengundi.
Kelmarin, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRU15.
Keputusan tersebut sekali gus menjawab teka-teki sebelum ini yang dikatakan Pas bakal menjalinkan semula kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN). – KOSMO! ONLINE