KUALA LUMPUR – Penyanyi Siti Nordiana berbangga dengan jolokan penyanyi ‘leman’ atau lagu mendayu-dayu sehingga kekal menjadi forte dirinya hingga ke hari ini.
Penyanyi yang mesra disapa Nana itu bagaimanapun tetap memberikan variasi dalam berkarya dan mencabar diri merakamkan pelbagai lagu genre lain sekaligus mengumpul kelompok
peminat baharu.
“Gelaran ‘leman’ dibertikan Datuk Ramli MS sewaktu Gegar Vaganza dan melekat sampai sekarang. Lagu sebegitu memang sebati dengan saya. Ikutkan saya bangga, tiada sebab pun untuk saya berasa malu dipanggil penyanyi ‘leman’.
“Dari dulu pun banyak lagu saya yang mendayu-dayu. Bukan tak boleh bawa lagu lain, tapi peminat lebih suka saya nyanyikan lagu begini.
“Apa pun sesekali saya rebut juga peluang untuk muncul dengan single baharu yang lari daripada konsep tangkap leleh. Kena cabar diri daripada ruang selesa dan buktikan kita boleh,” katanya selepas usai pra dengar single baharunya berjudul Menyantun Kasih, ciptaan Datuk M. Nasir semalam.
Mengenai karya sentuhan Datuk M. Nasir, juara GV edisi 2015 itu tanpa berselindung mendedahkan menunggu lima tahun untuk mendapatkan lagu ciptaan komposer ternama terbabit.
“Pertama kali minta lagu antara 2017 dan 2018. Kira lama jugalah sudah menyuarakan permintaan berkenaan tetapi cuma baharu tahun ini sifu menyatakan persetujuan.
“Maka terhasillah Menyantun Kasih yang mendapat suntikan elemen muzik Sunda bersama santunan lirik sarat maksud tersendiri nukilan penulis lirik berpengalaman, Keon Omar.
“Sejujurnya boleh saya menggigil juga apabila beliau tanya bolehkan saya bawakan lagu ciptaannya. Bukan apa, saya inikan penyanyi yang menyanyikan lagu ‘leman’.
“Apa pun saya rasa bertuah menjadi antara insan terpilih yang dapat menyanyikan lagu sifu. Tiga bulan juga masa diambil untuk kerja rakaman membabitkan empat kali masuk studio,” katanya lagi.
Video muzik Menyantun Kasih boleh ditonton dalam YouTube Luncai Emas dan semua platform digital mulai hari ini.
Terdahulu, sekitar November tahun lalu Nana tampil bersama lagu Amaran berentak EDM Nusantara dan Trap ciptaan bersama Bunga, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat yang turut menyelitkan elemen rap. – KOSMO! ONLINE