fbpx

Sindiket campur ketamin dalam perisa vape tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Menjalankan aktiviti memproses dan mengedar cecair vape mengandungi dadah ketamin, tujuh individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat ditahan dalam serbuan berasingan di Lembah Klang, Khamis lalu.

Kesemua mereka terdiri daripada enam lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 25 hingga 34 tahun itu ditahan di sekitar Petaling Jaya, Ampang dan Wangsa Maju.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, hasil serbuan yang dijalankan, polis merampas sebanyak 104.16 liter cecair ketamin yang diletakkan dalam perisa vape.

Selain itu, katanya, dadah lain jenis syabu seberat 27.56 gram dan 160 biji pil yaba turut dirampas. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3.44 juta.

Noorsiah berkata, pihaknya mendapati sindiket terbabit dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan menggunakan modus operandi mencampurkan cecair ketamin ke dalam perisa vape selain menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengedar dadah.

“Dadah yang dirampas dijangka boleh digunakan seramai 10,416 penagih,” ujarnya.

“Kita turut menyita sebuah kereta jenis Honda Civic, dua motosikal jenis Yamaha RX-Z dan WMoto, barang kemas serta wang tunai berjumlah RM2,530,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, tindakan sitaan dikenakan ke atas aset sindiket tersebut dianggarkan bernilai RM37,407.50.

Dalam pada itu, katanya, lima suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo selepas menjalankan saringan air kencing.

“Semakan rekod pula mendapati enam suspek mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI