KUALA TERENGGANU – Hantaran menyedihkan dikongsi di media sosial menjadi tanda pemergian Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 40, yang terbunuh dalam kemalangan sewaktu menyertai perlumbaan Battle of the Kings (BOTK) di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus hari ini.
Abangnya, Mua’amar Ghadafi, 43, berkata, arwah adiknya, Muhamad Hafez, 40, sering berkongsi sebuah video kesedihan seorang kanak-kanak yang kehilangan bapa di akaun Facebook peribadinya sejak awal bulan ini.
Beliau berkata, Muhamad Hafez yang merupakan pelumba drag sering berkongsi hantaran video itu sambil memuat naik status luahan kerisauan tentang nasib isteri dan dua anaknya sekiranya dia meninggal dunia nanti.
“Banyak kali juga Allahyarham berkongsi sebuah video memaparkan keakraban dua beranak yang pengakhirannya menunjukkan ayah anak kecil itu sudah meninggal dunia sejak awal bulan ini.
“Pada mulanya, kami ahli keluarga menyangka ia sekadar luahan Muhamad Hafez yang merupakan seorang bapa penyayang kepada dua anaknya berusia tujuh dan 11 tahun,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.
Mua’amar Ghadafi berkata, mereka tidak menyangka kerisauan itu benar-benar menjadi kenyataan selepas adiknya terlibat dalam kemalangan sewaktu menyertai perlumbaan terbabit pada pukul 11.45 pagi tadi.
Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) memberitahu Muhamad Hafez aktif dalam sukan permotoran sejak lebih 20 tahun lalu.
“Sepanjang tempoh tersebut dia tidak pernah terlibat dalam kemalangan. Sebab itu pada mulanya, kami menyangka dia cuma terlibat dalam kemalangan kecil.
“Lagipun, setiap perlumbaan disertainya sebelum ini memiliki tahap keselamatan yang baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE.