fbpx

Selebriti Hollywood ‘sorok’ anak demi privasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAGA privasi dan keselamatan anak, itu antara penyebab utama beberapa selebriti Hollywood memilih tidak berkongsi wajah anak mereka dalam laman sosial apatah lagi dirakam lensa paparazi.

Lebih tegar, ada artis yang sedia berhadapan individu atau pihak yang terus berdegil memaparkan gambar anak mereka tanpa mendapat keizinan dengan tindakan mahkamah.

Tidak hairan ramai dalam kalangan personaliti popular mengambil pendekatan dengan tidak berkongsi wajah putera atau puteri mereka dalam laman sosial.

Jika ada yang sanggup berkongsi momen bersama anak mereka, paling ketara tidak menampakkan muka atau menutup bahagian tersebut dengan aneka emoji.

Minggu ini Gala menyenaraikan pasangan Hollywood yang memilih membiarkan anak mereka menjalani kehidupan biasa tanpa eksploitasi dalam ruang maya.

ISTERI dan anak-anak George Clooney.

George Clooney

AKTOR George Clooney dan isterinya yang juga peguam terkenal, Amal mengheret sebuah penerbitan Perancis yang mengedarkan gambar anak kembar mereka ketika awal kelahiran, sekitar 2017.

Pasangan itu mengumumkan kelahiran bayi kembar mereka yang dinamakan Alexander dan Ella pada Jun 2017 tetapi tidak mengedarkan gambar mereka untuk tatapan umum.

Sebulan kemudian, majalah berkenaan mendedahkan gambar Amal dan Clooney berpakaian renang, sambil mendukung bayi mereka yang dikatakan diambil di vila keluarga di Lake Como, Itali.

Dalam satu kenyataan, bintang Ocean’s Eleven itu mendakwa jurugambar memanjat pagar dan pokok semata-mata ingin merakam gambar secara curi-curi.

Akui George, soal keselamatan keluarganya perkara paling dititikberatkan sehingga dia sanggup membawa kes tersebut ke muka pengadilan.

EVA MENDES bersama keluarga.

Eva Mendes

Isteri kepada Ryan Gosling, Eva Mendes pernah membuat kenyataan, lebih selesa tidak berkongsi wajah dua cahaya matanya bagi membolehkan si kecil menjalani kehidupan tenang.

“Saya memang jarang berkongsi mengenai pasangan serta anak-anak. Malah saya juga tidak akan memperlihatkan gambar berkenaan kehidupan seharian kami.

“Sebab anak-anak kami masih sangat kecil dan tidak mengerti apa erti sebenarnya memuat naik gambar yang bukan dalam persetujuan mereka.

“Saya tidak akan berbuat demikian hingga mereka cukup umur untuk memberikan persetujuan,” katanya ketika mengulas berkenaan privasi keluarga.

Rumah tangga yang dibina dengan aktor popular itu pada 2011 diserikan dengan kehadiran Esmeralda Amada, 8, dan Amada Lee, empat tahun.

Sejak dahulu, Eva sememangnya sangat menjaga privasi kehidupan hingga berjaya menyorokkan kisah awal percintaan bersama Ryan.
Dia juga tidak mendedahkan mengenai kehamilan kedua-dua anaknya sehinggalah mereka dilahirkan.

MILA KUNIS bersama keluarganya.

Mila Kunis

AKTRES Mila Kunis dan suaminya, Ashton Kutcher memiliki sepasang cahaya mata bernama Wyatt dan Dimitri. Tetapi kelibat kanak-kanak berusia lapan dan enam tahun itu jarang terlihat dalam Instagram.

Kata Mila, dia dan suami yang memilih kerjaya sebagai pelakon sering berdepan pandangan umun dan semua itu tidak membabitkan anak-anak mereka.

Pasangan itu mengambil berat soal hak privasi Wyatt dan Dimitri yang menjadi keutamaan supaya mereka dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

Pasangan itu juga bimbang andai ada individu atau pihak tidak bertanggungjawab menggunakan foto anak mereka untuk perkara yang tidak baik.

MICHAEL JACKSON menutup wajah anak-anak ketika mereka masih kecil.

Michael Jackson

Sejak kelahiran cahaya mata sulung bersama bekas isteri, Debbie Rowe yang diberi nama Michael Joseph ‘Prince’ Jackson, raja pop dunia

Michael Jackson cukup menjaga privasi anak-anaknya.

Pada usia 22 tahun anak sulung daripada tiga bersaudara itu mendedahkan, ketika kecil dia dan adik-adiknya mengenakan topeng dan dikawal rapi pengawal supaya tiada sesiapa mengenali wajah mereka.

Pemilik syarikat produksi King’s Son Productions itu mengatakan bapanya selalu mengingatkan mereka memakai topeng untuk memiliki kehidupan sendiri.

Kata Prince, impak positif yang dirasai ketika itu adalah dia dan adik-beradiknya merasai nikmat seperti kanak-kanak lain apabila sering keluar tanpa ayah mereka kerana tidak dikenali.

Hanya selepas Michael meninggal dunia, peminat berpeluang melihat wajah pewaris penyanyi itu yang tetap dilindungi daripada kerlipan lensa kamera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN