MOSCOW – Russia mengeluarkan amaran keras bahawa Perang Dunia Ketiga akan tercetus sekiranya Ukraine diberikan keanggotan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), kata seorang pegawai Majlis Keselamatan Moscow seperti dilaporkan akhbar Daily Mail kelmarin.
“Kiev sedar bahawa langkah demikian akan meningkatkan ancaman Perang Dunia Ketiga,” kata Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Russia, Alexander Venediktov seperti dipetik agensi berita TASS.
Venediktov berkata, beliau menganggap permohonan Ukraine itu adalah satu bentuk propaganda kerana Barat sendiri memahami kesan buruk akibat keahlian Kiev dalam NATO.
“Nampaknya, inilah yang mereka (NATO) harapkan iaitu menarik perhatian dunia kepada mereka sendiri, sedangkan NATO sedar langkah tersebut adalah ibarat membunuh diri sendiri.
“Kita mesti ingat, perang nuklear akan menjejaskan seluruh dunia dan bukan Russia atau Barat sahaja tetapi semua negara yang ada. Akibatnya akan membawa bencana kepada seluruh umat manusia,” kata Venediktov.
Amaran itu dikeluarkan selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengumumkan tawaran mengejut untuk mendapatkan keanggotaan segera NATO pada 30 September lalu.
Beberapa jam sebelum itu, Presiden Vladimir Putin secara rasmi mengisytiharkan pengambilalihan sehingga 18 peratus wilayah milik Ukraine.
Russia melihat tawaran keanggotaan Ukraine dalam NATO hanya simbolik kerana pengisytiharan keahlian penuh memerlukan persetujuan daripada kesemua 30 negara anggota blok pertahanan berkenaan, manakala pertikaian wilayah yang berterusan menjadi penghalang untuk sesebuah negara menyertai NATO.
Sejak itu, Putin berulang kali mengancam untuk melancarkan senjata nuklear sambil mengkritik dasar perluasan kuasa Barat ke rantau Eropah Timur yang diterajui Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, negara-negara Eropah Timur dilihat menerima pengaruh Barat dengan terbuka kerana bimbang akan penguasaan dan penindasan Moscow.
Tindakan NATO mencari pengaruh di negara-negara bekas Kesatuan Soviet seperti Georgia dan Ukraine menyemarakkan kemarahan Kremlin sehingga mendorong Moscow mengisytiharkan penyertaan negara-negara berkenaan sebagai garisan merah yang akan mencetuskan perang dunia sekiranya dicabuli. – Agensi