MELAKA – Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dianggap sebagai satu simbol kebersamaan yang inklusif dalam menghadapi krisis akibat pandemik Covid-19.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, konsep tersebut jelas menunjukkan kepentingan institusi keluarga dalam menghadapi situasi mencabar.
Beliau berkata, berpegang teguh kepada tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang diterapkan dalam mendasari kepemimpinan, ia akan memacu negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi.
“Kerajaan negeri dan Persekutuan komited pelbagai inisiatif dengan konsep Keluarga Malaysia dan telah memberi impak baik kepada rakyat Melaka.
“Syukur alhamdulillah, berpegang teguh konsep itu juga membolehkan Melaka diiktiraf sebagai negeri paling bahagia di Malaysia oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMalaysia),” katanya pada Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Ayer Keroh di sini, semalam.
Sulaiman menambah, JAKM merupakan sesi libat urus kerajaan dan rakyat yang menyasarkan komunikasi dua hala, sekali gus memberi peluang kepada rakyat untuk cakna terhadap usaha yang dilakukan. – KOSMO! ONLINE