TEMERLOH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Temerloh akan berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa barisan Srikandi yang dipilih selepas Ketua Srikandi Bersatu Temerloh, Siti Aisyah Ismail bersama 17 ahli jawatankuasanya meletak jawatan.
Turut meletak jawatan Pengerusi Tetap Srikandi Bahagian, Naib Ketua Srikandi, 9 AJK Srikandi bahagian, empat ketua srikandi cawangan dan empat AJK Bahagian yang berkuatkuasa 30 September lalu.
Siti Aisyah berkata, perletakan jawatan itu dibuat selepas merasakan haknya untuk menjaga ahli dan sebagai Ketua Srikandi dinafikan oleh pimpinan atasan.
“Keputusan ini dibuat kerana setelah setahun lebih kita cuba mengadakan perbincangan serius dengan pimpinan Bersatu Temerloh dan Negeri namun semuanya sia-sia.
“Saya letak jawatan kerana tidak mendapat kerjasama dalam menjalankan amanah diberi, daripada duduk, tidur lebih baik letak jawatan sahaja,”katanya di Mentakab di sini hari ini.
Beliau mendakwa sikap kepimpinan bahaguan yang tidak boleh bertolak ansur dan pilih bulu juga menyebabkan Srikandi bahagian berasa diabaikan.
Pada masa ini Timbalan Bersatu Bahagian Mohd Yusoff Abdullah memangku jawatan Ketua Bahagian Temerloh selepas Tan Sri Tengku Azlan Sultan Ahmad Shah keluar parti itu.
Menurut Siti Aisyah setakat ini dia belum membuat keputusan untuk keluar parti dan keputusan perletakan jawatan yang dibuat tidak ada kena mengena dengan tawaran daripada mana-mana parti.
Beliau yang dilantik menjadi penaja Srikandi pada 2016 dan menang pemilihan parti pada 2020 berkata surat perletakan jawatan diterima Setiausaha Bahagian Bersatu Temerloh, Syed Omar Syed Abdul Aziz pada 11 Oktober. – KOSMO! ONLINE