BANGKOK – Pihak berkuasa Chiang Mai akan mewajibkan semua 3,500 anggota polis di setiap balai wilayah itu untuk menjalani ujian dadah bagi membina keyakinan masyarakat susulan insiden pembunuhan beramai-ramai di sebuah taska di Nong Bua Lamphu baru-baru ini, lapor laman berita Thaiger.
Komander Polis Wilayah Chiang Mai, Thawatchai Pongwiwattanachai berkata, pihaknya akan memulakan projek itu yang digelar ‘Polis Bersih’.
Kata Thawatchai, semua pegawai dan anggota polis akan menjalani ujian dadah menjelang hujung minggu ini.
Menurutnya, kit ujian air kencing akan dihantar ke 38 balai polis di wilayah Chiang Mai di mana 3,500 pegawai dan anggota akan menyerahkan sampel urin masing-masing menjelang hujung minggu ini.
Sekiranya terdapat pegawai atau anggota yang positif dadah, mereka akan dihantar ke pusat pemulihan serta dihukum mengikut undang-undang negara.
“Mana-mana pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam pengedaran dadah pula akan dikenakan hukuman berat,” katanya.
Thawatchai berkata, usaha itu dilakukan bagi membina semula kepercayaan dan keyakinan masyarakat selepas bekas pegawai polis, Panya Khamrap menembak mati 37 orang termasuk kanak-kanak di pusat jagaan tersebut minggu lalu.
Tambah beliau, pihak polis sentiasa mengadakan mesyuarat bagi membincangkan masalah berkaitan dadah dalam masyarakat selain berkata, pegawainya akan melakukan yang terbaik bagi menangani isu tersebut dan menghantar penagih dadah ke pusat pemulihan. – Agensi