ANKARA – Seorang pelancong Britain terselamat selepas terjatuh dari ketinggian hampir 1,828 meter apabila payung terjunnya gagal berfungsi semasa menyertai aktiviti luncur udara, lapor akhbar Daily Star semalam.
Ketika kejadian, Angus George Beaton, 27, menyertai aktiviti lasak tersebut di Gunung Babadag dekat sebuah pusat peranginan popular di Turkiye, Oludeniz.
Dia terjun dari ketinggian 1,799 meter sebelum mendapati payung terjunnya gagal berfungsi.
Mangsa kemudian jatuh menjunam dan terhempas ke tanah di atas permukaan berbatu.
Panggilan kecemasan dibuat dan anggota-anggota daripada pasukan Komando Batalion Mencari dan Menyelamat Gendarmerie dan Pasukan Penyelamat Perubatan Kebangsaan bergegas ke tempat kejadian untuk mencari Angus.
Mereka berjaya menemuinya dan membawanya ke Hospital Negeri Fethiye.
Beaton kini berada dalam keadaan yang tidak mengancam nyawa. Doktor yang merawatnya mendapati dia mengalami patah tulang dalam kemalangan itu. – Agensi