fbpx

MCA, MIC mahu anak tempatan jadi calon BN di Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOORAZLI Said (tengah depan) menunjukkan isyarat bagus selepas pelancaran jentera MIC Sepang bersempena dengan PRU15 semalam. - FOTO/ AMREE AHMAD

SEPANG – Dua parti komponen Barisan Nasional (BN) Bahagian Sepang merayu agar anak tempatan menjadi calon untuk kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara tersebut disuarakan sendiri oleh kepimpinan MCA dan MIC demi mengelak timbul perasaan marah dan tindakan sabotaj dalam kalangan ahli-ahli parti itu di kawasan berkenaan.

Ketua MCA Bahagian, Datuk Ng Chok Sing berharap calon diketengahkan ialah warga daerah itu sendiri dengan keutamaan diberi kepada UMNO kerana majoriti pengundinya adalah Melayu.

“Antara yang sesuai ialah Ketua UMNO Bahagian, Noorazli Said kerana beliau sudah bekerja keras bagi misi memenangkan BN untuk PRU15,” katanya ketika ditemui lewat malam tadi.

Terdahulu, Chok Sing yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Selangor, menghadiri pelancaran jentera MIC Sepang di markas gerakan parti etnik India itu di Sepang Putra di sini.

“Sebagai parti komponen, saya tidak boleh campur urusan UMNO, tetapi masih lagi boleh beri pandangan kerana PRU kali ini BN perlu menang besar untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, MCA akan tetap memberi kerjasama dengan UMNO untuk kempen sekalipun kepimpinan BN meletakkan calon dari luar termasuk ‘heavyweight’ di kawasan itu.

Turut menyuarakan nada sama ialah Ketua MIC Bahagian Sepang, Datuk V. Gunalan yang memaklumkan bahawa MIC sudah lebih empat tahun bertungkus lumus untuk menawan kembali kerusi tersebut yang tewas kepada pihak PH.

Menurutnya, UMNO Sepang memiliki calon berwibawa untuk diletakkan sebagai wakil BN dan khuatir tindakan meletakkan orang luar menyebabkan ada pihak lain mengambil kesempatan.

Situasi di Sepang jelas beliau, bukan seperti Kuala Selangor yang mudah memberi laluan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk dapat bertanding.

“Kami berpendapat senario politik di sini tidak sama dan kurang sesuai untuk dilaksanakan eksperimen sedemikian kerana keadaan PRU15 adalah berbeza daripada PRU14,” katanya

Gunalan namun akur jika BN Pusat tetap mahu orang luar sebagai calon berpotensi menang dan berharap ada semangat kerjasama bagi komponen tersebut mampu meraih kejayaan.

Kerusi Parlimen itu antara tumpuan PRU kali ini dengan Ketua Srikandi Bersatu Sepang, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dilaporkan bakal dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI