fbpx

Liga Super: Jaringan tunggal Lok benam KL City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOK (kiri) meledak gol ke-10 musim ini bagi membantu PJ City menewaskan KL City 1-0 pada aksi terakhir saingan Liga Super 2022 di Stadium MBPJ sebentar tadi. - FB PJ City

KUALA LUMPUR – Pertembungan dua pasukan Lembah Klang pada aksi terakhir saingan Liga Super 2022 menjadi milik Petaling Jaya (PJ) City selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) City sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, KL City turun tanpa beberapa tonggak utama yang direhatkan bagi menghadapi aksi final Piala AFC menentang Al Seeb minggu depan.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan menampilkan aksi cukup seimbang apabila masing-masing saling berbalas serangan selain memiliki beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

Beraksi sebagai tuan rumah, PJ City tampak lebih berbahaya apabila jentera serangan yang diketuai penyerang kebangsaan, Darren Lok lebih banyak menguji kecekapan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza.

Skuad The City Boys juga hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-22 menerusi pemain sayap, Zhafri Yahya selepas keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol PJ City, namun ditepis penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Ketika separuh masa pertama berbaki lima minit, Lok meletakkan pasukannya 1-0 di depan apabila menanduk masuk sepakan penjuru yang dilakukan Mahalli Jasuli, sekali gus menyebabkan pasukan pelawat berada dalam keadaan tertekan.

Memasuki separuh masa kedua, jurulatih KL City, Bojan Hodak membuat perubahan taktikal bagi memperkemaskan bahagian serangan dengan memasukkan kapten, Paulo Josue yang menggantikan J. Partiban.

Corak permainan KL City dilihat lebih berbeza selepas waktu rehat apabila menampilkan aksi lebih kemas sebelum percubaan pemain pertahanan, Giancarlo Gallifuoco pada minit ke-55 sekadar melepasi tiang gol.

Sedar dengan corak permainan KL City yang semakin agresif memburu gol penyamaan, jurulatih PJ City, P. Maniam memperkemaskan benteng pertahanan dengan memasukkan P. Rajes dan K. Prabakaran yang menggantikan Filemon Standly dan V. Ruventhiran.

Peluang terbaik pasukan pelawat untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-80 apabila sepakan percuma yang dilakukan Josue sedikit mengelirukan Kalamullah, namun gagal menerjah jaring.

Ketika perlawanan menuju ke wisel penamat, KL City langsung tidak mengendurkan asakan ke arah pintu gol pasukan tuan rumah, namun ia masih belum cukup untuk memastikan mereka pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI