fbpx

Lengah bahagi harta pusaka, zalim pada penerima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

BERDASARKAN data yang dikeluarkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli baru-baru ini, sebanyak 72,384 kes tunggakan pembahagian harta pusaka dicatatkan awal tahun ini.

Bagaimanapun, jumlah itu menurun sebanyak 40 peratus sekali gus menjadikan kes tunggakan pembahagian harta pusaka kepada 42,861 kes, Ogos lalu.

Pengurusan kes tunggakan pembahagian harta pusaka itu turun mendadak dan semakin baik apabila negara memasuki fasa endemik bermula April lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini berkata, isu kelewatan menguruskan pusaka bukan sahaja menyebabkan harta menjadi beku, malah boleh mengakibatkan masalah di pe­ringkat nasional.

Katanya, harta-harta itu juga tidak dapat dimanfaatkan waris sehingga berlaku susut nilai ke­rana bilangan waris bertambah ekoran kematian berlapis.

“Bahagian Pembahagian Pusaka menerima purata sebanyak 60,000 kes setahun dan 65 peratus daripada jumlah kes akan diuruskan bersama agensi lain iaitu Mahkamah Tinggi dan Amanah Raya Berhad,” katanya.

Pembahagian harta pusaka terbahagi kepada dua iaitu harta tak alih seperti bangunan, tanah atau rumah dan harta alih iaitu wang simpanan, kereta atau motosikal dengan jumlah keseluruhan RM2 juta ke bawah.

Mengulas mengenai pengurusan harta pusaka, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata, harta pusaka wajib diagihkan kepada penerima yang berhak dan tiada ruang untuk dipertikaikan.

Menurutnya, individu yang berhak menerima harta pusaka dalam keluarga mereka telah termaktub di dalam al-Quran secara spesifik, malah perincian untuk pengurusannya terang dan jelas.

“Dalam Surah an-Nisa ayat enam hingga 12 telah menceritakan mengenai asas kepada pembahagian harta pusaka, termasuk siapa penerimanya dan kaedah pembahagian.

“Hal ehwal harta pusaka ini hukum yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan ia bukan fleksibel atau boleh diubah-ubah. Jadi, segala aspek pengurusan harta pusaka wajar disegerakan dan tidak boleh dilengah-lengahkan,” katanya baru-baru ini.

Menurut Mohamad Shukri, secara umumnya, melengahkan pembahagian harta pusaka akan menyebabkan penerima yang sepatutnya mendapatkan bahagian mereka dinafikan hak.

Katanya, kelewatan atau sikap acuh tidak acuh terhadap urusan pembahagian harta pusaka dibimbangi akan berlaku kezaliman kepada anak-anak atau ahli keluarga.

“Sebagai contoh, empat bidang tanah yang ditinggalkan oleh arwah bapa kepada anak-anaknya perlu diagihkan dengan segera. Sekiranya urusan pembahagian dilengah-lengah, tanah tersebut tidak mempunyai pemilik dan dibimbangi akan berlaku pembaziran apabila tiada yang menguruskannya sehingga ia terbiar.

“Pengurusan harta pusaka sama seperti hukum faraid yang merupakan ilmu mengurus harta dalam bahasa arab. Jadi, pemilikan kepada sesebuah harta itu penting bagi mengelakkan segala pertikaian berlaku pada masa depan meskipun ada toleransi dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.

Sehubungan itu, menurut beliau, segala aspek pengurusan harta pusaka perlu dipercepatkan agar individu yang berhak dapat bahagian mereka.

Tambahnya, selain mengikut syariat yang ditetapkan Islam, pengurusan harta pusaka juga dapat mengurangkan kes tunggakan pembahagian harta pusaka dicatatkan di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI