LAGU terbaharu dendangan Sam Smith dan Kim Petras berjudul Unholy merupakan antara antem pop paling popular di dunia ketika ini.
Menduduki posisi pertama carta Today’s Top Hits Spotify, penulis sebenarnya berasa lega kerana ternyata ‘zaman kegemilangan’ Smith belum berakhir.
Masakan tidak, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lagu-lagu yang dihasilkan pemilik nama lengkap Samuel Frederick Smith itu tidak begitu melekat di halwa telinga peminat.
Diskografi terakhirnya, Love Goes sebagai contoh, tidak menyerlah seperti dua album terdahulu iaitu In the Lonely Hour (2014) dan The Thrill of It All (2017).
Unholy terus membuktikan kepada dunia bahawa Smith bukan sekadar seorang penyanyi balada hebat, namun pada masa sama juga mampu menggoncang perhatian ramai dengan karya bernuansa rancak.
Komposisi muzik A+
Semestinya, kejayaan tersebut tidak akan berlangsung dengan jayanya tanpa kolaborasi serta komitmen penyanyi dan komposer popular kelahiran Jerman, Petras.
Buat penulis secara peribadi, Unholy memberi peringatan kepada para peminat bahawa dia sememangnya bermula dengan lagu-lagu berentak sedemikian seperti Disclosure dan Money on My Mind ketika awal kemunculannya dahulu.
Dari segi komposisi muzik, Unholy berentak dance-pop yang mudah ‘mesra’ di bibir para pendengar. Catchy, penuh dinamika dan kedengaran sangat ‘right now’, itu antara kelebihan yang terkandung dalam lagu berkenaan.
Tolak tepi tentang pegangan seksualiti Smith mahupun erotika Petras yang sememangnya sangat-sangat berada di luar norma budaya orang
Malaysia, namun sebagai seorang pencinta budaya pop, Unholy boleh diklasifikasikan sebagai antara antem paling ‘daring’ dihasilkan Smith.
‘Pendaratan’ Petras
Pada masa sama, memberi pendaratan kemas buat Petras yang pertama kali berada di posisi teratas carta antarabangsa popular, Billboard Hot 100.
Setakat artikel ini ditulis, Unholy berada di posisi kedua carta terkemuka dunia tersebut dan tidak mustahil dalam masa beberapa minggu akan datang, meroket di tangga nombor satu!
Dari segi nukilan lirik, ada banyak bait-bait tulisan yang barangkali tidak sesuai untuk dipaparkan kepada umum. Tetapi sungguh ironi, itulah kehendak pendengar sekarang. Lagi ‘daring’ dan mengarut, semakin mudah menuai serta menangkap minat pendengar untuk menelaah sesuatu karya.
Kalau tanya penulis, lagu mana yang sering kali bermain dalam benak fikiran sekarang, jawapannya ada dalam Unholy.
Sekali lagi ingin ditegaskan, ini adalah antara produk terbaik pernah dihasilkan Smith. Bravo, ten across the board!