PETALING JAYA – Pelakon Puteri Sarah menarik nafas lega setelah mendapat penjelasan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung aduan terhadap wanita bernama Ira Kazar atas dakwaan mengganggu rumah tangga bersama suaminya, Syamsul Yusof.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Puteri Sarah, 37, berkata, prosedur membawa sesebuah memakan masa masa, namun setakat ini, saman dikemukan terhadap Ira sudah mendaoat tarikh perbicaraan pada tahun depan, manakala perbicaraan di mahkamah syariah juga akan menyusul tidak lama lagi.
“Saya tidak akan diam selagi pihak yang sepatutnya tidak diambil tindakan. Biar lambat. Kes mahkamah memang ambil masa yang sangat lama.
“Mahkamah sivil sudah dapat tarikh perbicaraan tapi pada tahun hadapan. Mahkamah syariah akan datang. Saya akan berjuang. Kes tutup? Tidak!” tegasnya menerusi satu perkongsian dalam Instagram selepas satu pertemuan dengan pegawai penyiasat Jawi semalam.
Pelakon itu bagaimanapu tidak boleh berkongsi lanjut tentang isi perbincangannya.
“Apa yang boleh saya jelaskan, kes masih lagi dalam siasatan dan ada prosedur yang perlu diikuti. InsyaAllah akan ada berita baik nanti untuk berpihak pada yang benar,” ujarnya.
Yakin Allah SWT akan sentiasa bersama insan teraniaya, termasuk dirinya, Sarah juga nekad berjuang demi mempertahankan rumah tangganya.
“Allah pun tahu hambanya tidak akan berhenti berjuang, berdoa dan pasti akan ada pelangi selepas ini. InsyaAllah Jawi tidak akan kecewakan saya dan wanita-wanita yang teraniaya di luar sana. Jangan berhenti untuk terus berjuang,” tulisnya.
Menerusi sebuah hantaran berbeza, pemilik nama lengkap Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu berkata dia tidak akan berdiam diri selagi individu yang sepatutnya diambil tindakan menerima hukumannya.
Pada 30 Jun lalu, Sarah memfailkan saman terhadap Ira Kazar yang didakwa mengganggu rumah tangganya sejak empat tahun lepas.
Malah, pelakon itu juga mendapatkan perintah interim injuksi kepada pihak defendan berhenti meluah atau menyebarkan sebarang gangguan dalam media sosial.
Pergolakan rumah tangga antara aktres itu dengan Syamsul berlarutan sejak empat tahun lalu selain dia mengesahkan mereka tidak lagi tinggal sebumbung gara-gara gangguan orang ketiga.
Pelakon berkenaan juga mendakwa Ira Kazar melakukan gangguan-gangguan berkenaan dengan bersembunyi di sebalik puluhan akaun media sosial palsu yang diciptanya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial yang mengatakan pengarah filem Mat Kilau itu sudah pun berkahwin lain, namun dinafikan Syamsul. – KOSMO! ONLINE