SEBERANG PERAI – Keputusan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan dibubarkan atau tidak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka ditentukan dalam satu lagi mesyuarat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dijadual diadakan pukul 10 pagi ini.
Perkara itu disahkan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan PRU15: ‘Memahami Geopolitik dan Strategi Masa Depan’ di Dataran Rahmah, Penaga, Kepala Batas, di sini malam tadi.
Mohamad berkata, mesyuarat yang akan diadakan di Kuala Lumpur itu akan dihadiri semua pemimpin tertinggi dalam PH termasuk beliau sendiri.
Menurutnya, antara sebab mengapa keputusan pembubaran DUN Pulau Pinang gagal dicapai lebih awal sebelum ini berikutan terdapat pelbagai pandangan yang timbul dalam pakatan sendiri mengenai perkara itu.
“Biasalah, macam kita kata Pas nak bersama UMNO lah, baru keputusan (dibuat) kelmarin. UMNO kata dia tak ‘kelapaq’ (tak berminat untuk bekerjasama dengan Pas). Jadi, dia (Pas) pi (pergi) Bersatu pula (sebagai keputusannya),” katanya berseloroh.
Difahamkan, ketika ini, dua lagi negeri yang dikuasai PH iaitu Selangor dan Negeri Sembilan masih mengekalkan keputusan masing-masing untuk tidak mahu membubarkan DUN mereka sehingga tamat penggal tahun depan.
Dalam pada itu katanya, pembahagian kerusi untuk calon daripada Amanah di seluruh negara sempena PRU15 kini telah 98 peratus selesai.
Jelasnya ketika ini, hanya tinggal satu atau dua kerusi sahaja yang masih belum dimuktamadkan siapa calonnya.
“(Pembahagian kerusi) dengan Pakatan Harapan (PH) pun kita dah 98 peratus selesai dan untuk PRU15 ini, kita fokus Kedah, Perak…semua negerilah. Kita bertanding kali ni bukan sahaja nak Amanah menang, PH pun sama. Jadi, kita tumpu semua,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan beliau akan kembali bertanding di Pulau Pinang, Mohamad Sabu berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu jika diarahkan oleh parti untuk berbuat demikian.
“Oh, nostalgia itu mesti ada. Kita dah dua kali bertanding di Pulau Pinang sebelum ni (1982 dan 1986),” katanya.
Untuk rekod, Mat Sabu tewas pada kedua-dua pilihan raya umum itu iaitu masing-masing untuk kerusi Parlimen Kepala Batas dan Permatang Pauh pada ketika itu. – KOSMO! ONLINE