KLANG – Seorang jurujual alat ganti kepala gas tampil membuat laporan polis menafikan dakwaan tular mahu memecah masuk ke dalam rumah dan cuba merompak di sekitar daerah ini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan lelaki tempatan berusia 35 tahun itu pukul 8.42 pagi semalam.
Kata beliau, pengadu menawarkan alat ganti kepala gas kepada seorang wanita di sebuah rumah di Sungai Udang pukul 2 petang kelmarin.
“Namun, gambar lelaki itu diambil pemilik rumah tersebut yang dipercayai menyebarkan kepada pihak ketiga sebelum tular di media sosial dengan tuduhan palsu.
“Laporan polis dibuat pengadu bagi untuk menafikan tuduhan itu dan tindakan susulan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Hoong Fong, perkara itu turut tular di kumpulan WhatsApp penduduk kawasan Jalan Kebun dan Sungai Udang.
Justeru, beliau berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan akan dilengkapkan dalam kadar segera.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang menyalahgunakan platform media sosial untuk mengancam keselamatan atau menganiayai individu lain,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE