fbpx

Inovasi sosial semakin penting – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI menandatangani plak Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Bera sebagai gimik pelancaran Majlis Perasmian Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Bera di Bera hari ini

BERA – Ketidaktentuan ekonomi dunia menjadikan inovasi sosial semakin penting pada masa kini dalam merangsang pasaran sosial yang lebih dinamik, inklusif dan mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inovasi sosial mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan dalam ekonomi bandar dan desa selain dapat mengetengahkan inovasi tradisional sebagai satu punca ekonomi yang berdaya saing.

Menurutnya, melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) lebih RM50 juta telah diperuntukan melalui pendanaan pembangunan inovasi berteknologi dan automasi, pemilikan paten, bimbingan kapasiti diri, penubuhan syarikat dan diffusion produk.

“Inovasi sosial tidak seharusnya dilihat sebagai projek atau inisiatif sekali sahaja (one-off) kerana perlu disokong oleh minda keusahawanan agar proses menjana sumber baharu sentiasa berkembang, selari dengan pertumbuhan organisasi dan daya saing pasaran yang mampan.

“Saya menyeru kepada institusi-institusi korporat untuk turut memberi sokongan kepada kerajaan dan bekerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebagai ejen inovasi sosial yang menyokong pembangunan ‘inovator’ akar umbi kita,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Ruang Reka (pembudayaan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi) STIE Keluarga Malaysia, Bera, Pahang di Felda Bukit Puchong, di sini, hari ini.

Program Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Bera adalah salah satu usaha memartabatkan STIE dalam komuniti luar bandar, golongan B40 dan terkesan akibat pandemik Covid-19.

Seramai 6,000 pereka akar umbi yang dibangunkan MOSTI sejak dari 2012 telah berjaya membawa penyelesaian masalah semasa yang dihadapi komuniti setempat dalam pelbagai bidang.

“Lebih banyak idea STIE yang menarik dan berdaya maju diperlukan melibatkan teknologi automasi, pembelajaran mesin dan data raya (big data), kepintaran buatan (AI), teknologi robotik serta Internet benda (IoT) sehingga mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat.

“Saya berharap melalui penyediaan platform seperti Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia ini akan menggalakkan lebih ramai inovator akar umbi tampil dengan inovasi dan
teknologi yang boleh dikomersialkan,” ujarnya.

Menurutnya setakat ini, MOSTI telah membangunkan tujuh Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia iaitu di Paroi,Negeri Sembilan; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Tinggi dan Kluang Johor; Tumpat, Kelantan; Langkawi, Kedah dan Bera, Pahang.

Katanya, lima lagi Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia akan dibangunkan pada tahun ini iaitu di Sabah, Sawarak, Melaka, Perak Dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI