BRUSSELS – Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell meluahkan kekecewaan kerana masih banyak negara enggan menyokong resolusi terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor laman berita RT kelmarin.
Resolusi itu bertujuan menyokong usul tidak mengiktiraf referendum bagi menyertai Russia oleh empat wilayah Ukraine yang dirampas Moscow iaitu Republik Rakyat Donetsk, Lugansk, Zaporozhye dan Kherson.
Bercakap di Akademi Diplomatik Eropah, Borrell berkata, beliau gembira kerana resolusi itu mendapat sokongan majoriti selepas 143 negara dalam Perhimpunan Agung PBB memilih menyokongnya. Hanya lima negara termasuk Rusia, mengundi menentang resolusi PBB tersebut.
“Keputusan pengundian ini melibatkan kerja keras banyak pihak kerana kami menyasarkan untuk mendapatkan sokongan lebih 140 negara.
“Namun begitu, apa yang membimbangkan adalah baki 45 negara lain termasuk India, China, Thailand, Cuba dan Afrika Selatan memilih untuk berkecuali,” jelas Borrell.
Menurut beliau, jumlah negara yang mengambil sikap tidak menyokong atau menentang itu mencecah 20 peratus dan dianggap angka yang besar.
Borrell menegaskan bahawa lebih banyak kerja keras perlu dilakukan untuk meyakinkan lebih banyak negara supaya mengutuk Rusia dan membuat dunia menolak kempen ketenteraan Moscow terhadap Ukraine. – Agensi