fbpx

Diet pelik, ekstrem atlet lonjak prestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJAYAAN atlet-atlet terkemuka dunia banyak didorong kepada latihan sistematik selain corak pemakanan yang seimbang.

MINGGU lepas, bintang bola sepak dunia dari kelab gergasi Manchester City, Erling Haaland mendedahkan rahsia dietnya yang disifatkan ramai pihak sebagai pelik dan agak ekstrem.

Dalam dokumentari berjudul, ‘The Big Decision’ baru-baru ini, penyerang berusia 22 tahun itu telah mendedahkan tentang dietnya, sesuatu yang dia percaya mampu membantunya menjadi hebat seperti sekarang.

Tidak dinafikan, bintang antarabangsa Norway itu mencetuskan fenomena pada Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini apabila menjaringkan 20 gol dengan fizikalnya yang luar biasa, sekali gus muncul sebagai salah seorang pemain bola sepak terbaik di planet ini.

Dalam dokumentari itu, Haaland mengeluarkan pelbagai produk daging yang siap dibungkus dengan sempurna hingga menimbulkan kehairanan pengacara program lalu bertanya, “adakah itu hati lembu?”

Sambil tersenyum Haaland menjawab, “ya, itu jantung dan hati lembu.” Sejak berhijrah ke England, penyerang sensasi itu perlu makan sekitar 6,000 kalori sehari bagi memastikan tubuhnya dalam keadaan terbaik, sekali gus mengekalkan prestasinya di puncak.

Memang benar, mengamalkan diet yang tepat boleh membantu memberikan tenaga diperlukan untuk bersaing, menamatkan perlumbaan mahupun menikmati aktiviti sukan dengan maksimum.

Seseorang atlet pastinya keletihan dan menampilkan prestasi buruk semasa bersukan atau bersaing apabila tidak mendapat cukup kalori mahupun karbohidrat.

Maka, tidak hairan apabila pemegang rekod dunia dalam acara pecut 100 meter (m) dan 200 m serta pemilik lapan pingat emas Olimpik dan 11 emas kejohanan dunia, Usain Bolt mengambil sebanyak 47,000 kalori ketika bersaing pada Olimpik Beijing 2008.

Untuk memenuhi keperluan itu, Bolt dipercayai sering ke McDonald’s dan memakan lebih 100 Chicken McNuggets dan kentang goreng bagi sarapan, makan tengah hari dan makan malam dengan pai epal sebagai snek.

Selain Bolt, seorang lagi Olimpian sepanjang zaman yang juga perenang sensasi Amerika Syarikat, Michael Phelps pernah mendedahkan keperluannya mengambil 12,000 calori sehari ketika menjalani latihan untuk Olimpik Beijing 2008.

Bintang renang yang memiliki 23 pingat emas Olimpik dan 27 emas Kejohanan Dunia perlu memakan satu paun pasta, satu paun piza, tiga sandwich telur goreng, bubur jagung dan roti bakar Perancis sehingga dietnya viral dan mencetuskan ‘Cabaran Michael Phelps’

Tidak dinafikan, latihan dan persaingan memerlukan sejumlah besar tenaga yang datang daripada karbohidrat, lemak dan protein di dalam badan.

Jika tidak diambil secukupnya makronutrien ini, sudah tentu badan seseorang atlet tidak akan dapat melakukan sehingga ke tahap prestasi puncak.

Justeru, mengisi badan dengan diet yang betul meskipun pelik sering diabaikan oleh atlet, namun ia adalah aspek penting dalam prestasi sukan.

Penulis berharap Haaland akan datang ke Malaysia pada suatu hari nanti kerana di negara ini menawarkan pelbagai jenis masakan hati lembu sama ada hati goreng kunyit, hati kicap berempah, hati masak sambal dan 1,001 macam masakan hati yang boleh dinikmatinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI