PETALING JAYA – Rata-rata orang muda berusia 18 tahun terutama yang pertama kali hendak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ternyata teruja dan gembira kerana berpeluang memilih wakil rakyat.
Pelajar kolej, Nur Najihah Umar Bakri, 19, berkata, peluang itu sangat ditunggu kerana tidak perlu lagi menanti sehingga usia 21 tahun seperti sebelum ini.
“Sebelum ini, tengok sahaja ibu bapa mengundi tetapi kali ini saya berpeluang membuang undi buat kali pertama untuk Parlimen Hulu Langat.
“Pendaftaran dilakukan secara automatik. Saya mahu pilih calon bertanggungjawab, amanah dan jujur,” katanya kepada Kosmo!.
Rakannya, Nur Syarina Wahieda Mohd. Shaiful Hilmi, 18, berkata, dia berazam untuk menunaikan tanggungjawab tersebut untuk mengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
“Sudah tentu saya pilih calon yang bertanggungjawab, amanah dan jujur selain ada sifat kemanusiaan sebagai wakil rakyat,” katanya.
Graduan universiti, Aidil Fahmy Yusni, 22, pula berkata, dia terlepas untuk mengundi pada PRU14 kerana belum melepasi usia 21 tahun.
“Jika banjir dan hujan, saya akan pergi mengundi dan memilih pemimpin untuk negara melalui amalan demokrasi untuk Parlimen Hulu Langat,” katanya.
Di Temerloh, Muhammad Arfan Salehudin, 20, turut berkongsi perasaan sama kerana teruja dapat membuang undi untuk bersama mencorak masa depan negara.
“Saya bukan ahli mana-mana parti dan tak peduli jika hujan atau banjir, saya akan cuba keluar mengundi untuk memilih kerajaan yang ada jiwa mempertahankan bangsa dan negara,” katanya.
Bagi Mohamad Fahmi Abdul Razak, 20, golongan muda perlu bijak menilai dan memilih kerajaan demi masa depan.
“Ketika ini ekonomi tak cantik. Saya dan rakan-rakan ada tanggungjawab untuk memilih kerajaan yang dilihat mampu membawa perubahan.
“Kami hanya akan pilih parti yang betul-betul ada kemampuan mentadbir negara dengan baik. Calon itu penting kerana jika hanya datang bermusim dan pandai berlakon, apa gunanya,” katanya.
Di Ipoh, pelajar universiti, Marsha Maisarah Mohd. Nor, 20, memberitahu, dia tak sabar untuk mengundi.
“Sebelum ini, hanya lihat ibu bapa dan saudara mengundi di Sitiawan. Saya perlu melihat keadaan politik semasa sebelum membuat pilihan,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Mukhsin Alawi Mohd. Isa, 19, berkata, pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali memberi petunjuk bahawa PRU15 perlu diadakan bagi memastikan kerajaan mendapat mandat penuh dari rakyat.
“Inilah kali pertama saya akan membuat keputusan yang boleh dianggap antara terbesar dalam hidup ini. Bukan mudah untuk memilih pemimpin tetapi proses demokrasi ini perlu dilaksanakan,” katanya.