JAKARTA – Selepas penyanyi Lesti Kejora memaafkan dan menarik balik laporan polis terhadap Rizky Billar, akaun Instagram (IG) milik suaminya itu tiba-tiba hilang.
Akaun @rizkybillar sebelum ini mempunyai pengikut seramai 12 juta sudah tidak muncul dalam ruang pencarian.
Perkara itu menjadi tanda tanya netizen yang mendakwa ia mungkin dilaporkan oleh peminat-peminat penyanyi itu sehingga dipadam oleh pihak Instagram.
Bagaimanapun, ada juga berpendapat akaun itu dinyahaktif sementara berikutan terlalu banyak komen negatif netizen.
Sehingga kini pihak Lesti dan Rizky belum memberikan kenyataan tentang kehilangan akaun milik pelakon dan pengacara itu.
Sementara itu, keputusan Lesti menarik balik laporan dan berdamai dengan suaminya menimbulkan rasa kurang senang rata-rata peminatnya.
Ramai yang kesal dan mengecam tindakan Lesti itu sebagai tidak wajar. Malah ramai yang menduga mereka bakal disajikan dengan kebahagiaan palsu yang akan ditayangkan selepas ini.
“Mungkin mereka boleh berdamai, tapi kami sudah tidak percaya. Lesti juga akan dibenci dari dunia hiburan, tidak akan ada yang akan menikmati kebahagian palsu mereka.
“Dua-duanya blacklist! Lepas dari jeratan hukum tidak bermakna terlepas hukuman netizen.
“Dulu disanjung-sanjung sekarang dibenci, itulah kalau minat artis jangan keterlaluan,” antara komen netizen.
Terdahulu, Lesti membuat kejutan muncul di Balai Polis Jakarta Selatan selepas Rizki ditetapkan sebagai tertuduh dan ditahan selama 20 hari bagi membantu siasatan.
Pada 28 September lalu, industri hiburan Indonesia digemparkan apabila Lesti membuat laporan polis dengan mendakwa dipukul suaminya sekitar pukul 1.51 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB) di kediaman mereka, Cilandak, Jakarta Selatan.
Dalam laporan tersebut, dia mendakwa suaminya berlaku curang sehingga berlaku pergaduhan dan pergelutan antara mereka.
Rizky didakwa bertindak agresif dengan memukul, mencekik dan menghempas isterinya sehingga terjatuh ke lantai.
Untuk rekod, pasangan popular itu mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2021 dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar. – KOSMO! ONLINE