fbpx

400 anggota TLDM buat kerja amal di premis rawatan OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA TLDM dari Fakulti Kejuruteraan KD Pelandok bergotong-royong membersihkan serta menaik taraf premis PKOCM di Sitiawan hari ini.

LUMUT – Kira-kira 400 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Pangkalan TLDM Lumut melakukan aktiviti tanggungjawab sosial masyarakat menerusi Program Jiwa Murni di premis Persatuan Kebajikan Orang Cacat Manjung (PKOCM) di Sitiawan hari ini.

Menerusi program itu, pegawai dan anggota dari Fakulti Kejuruteraan Kapal Diraja (KD) Pelandok itu melakukan kerja-kerja membaik pulih, penyelenggaraan, pembersihan serta mencantikkan lagi bangunan dan persekitaran kawasan tersebut bermula pukul 7.30 pagi.

Ketua Fakulti Kejuruteraan KD Pelandok, Komander Ir. Ng Keng Lip berkata, antara aktiviti dilakukan ialah mengecat keseluruhan bangunan tersebut termasuk pagar premis itu, menyelenggara pendingin hawa dan peralatan elektrik serta memeriksa pendawaian elektrik.

“Selain itu, kami turut membaiki kolam hidroterapi khususnya bahagian paip yang tidak berfungsi sejak kira-kira dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19 serta kekurangan dana untuk membaikinya.

“Sekarang, masalah itu sudah ditangani menerusi kepakaran anggota TLDM dan pesakit harian sudah boleh menggunakannya,” katanya kepada pemberita di premis PKOCM, Sitiawan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga akan mewujudkan taman rekreasi mini di situ dengan menyumbangkan sebuah gazebo, dua set kerusi batu, penanaman rumput karpet serta perhiasan berupa pelbagai replika yang dibuat daripada tayar.

Beliau menjelaskan program itu berjaya dilaksanakan hasil kerjasama TLDM dengan industri luar menerusi kaedah sumbangan tenaga oleh pasukan itu manakala pembiayaan kewangan oleh pihak swasta.

Jelasnya lagi, ia menunjukkan tanggungjawab TLDM bukan sekadar menjaga keselamatan negara tetapi juga melaksanakan kerja-kerja dan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

“Ketika waktu aman dan tiada peperangan, program sebegini memberi peluang kepada anggota menggunakan kepakaran dan kemahiran dimiliki untuk membantu orang ramai terutama mereka yang memerlukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI