PETALING JAYA – Tindakan seorang pemilik Facebook mengeluarkan kenyataan bahawa wanita keluar rumah tanpa mahram dianggap melakukan maksiat mengundang kemarahan orang ramai.
Menerusi hantaran tersebut, katanya, wanita perlu banyak bertaubat dan mengaji semula sekiranya melakukan kesalahan berkenaan.
Bagaimanapun, hantaran itu yang kemudian dikongsi seorang pengguna Twitter mengundang pelbagai reaksi kerana disifatkan seolah-olah merendahkan martabat kaum wanita.
“Aku janda anak dua, ayah sudah meninggal. Adik lelaki dah kahwin dan anak lelaki masih sekolah. Jadi, nak heret siapa pergi kerja? Kalau tak kerja, anak aku nak makan apa?,” ciap Delina.
“Oh, tidak! Tidak boleh pergi kerja,” ujar emmrds.
“Bayangkan, nak keluar pergi beli barang dapur pun kena cop buat maksiat,” kata akaun anon.
Difahamkan pemilik Facebook berkenaan telah memadamkan hantaran itu selepas ia mendapat banyak maklum balas orang ramai.
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menegaskan bahawa setiap wanita perlu mendapatkan keizinan daripada mahram mereka dan tidak keluar ke tempat yang boleh mendatangkan fitnah terhadap dirinya.
“Kami menasihatkan agar golongan wanita sentiasa menjaga maruah dan adab-adab islam agar mereka terpelihara daripada sebarang tohmahan dan menjamin kehidupan bersyariat,” katanya. – KOSMO! ONLINE