fbpx

Tukang sembelih ayam, isteri jadikan rumah sewa makmal proses heroin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOFFIAN (depan) ketika sidang akhbar rampasan dan tangkapan dadah di IPD Barat Daya, Balik Pulau, di sini hari ini. IQBAL HAMDAN

BALIK PULAU – Polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah jenis heroin yang didalangi pasangan suami isteri dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Gelugor dan Bayan Lepas, di sini Selasa lalu.

Dalam operasi itu, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 4,530 gram, pil yaba (309.54 gram), kafein (14,880 gram) dan peralatan memproses dadah dianggarkan bernilai RM81,330.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis bertindak menahan pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 43 dan 30 tahun di tepi jalan di Gelugor pada pukul 8.30 malam.

“Suspek lelaki merupakan warga tempatan bekerja sebagai penyembelih ayam di Pasar Balik Pulau manakala isterinya pula adalah warga asing.

“Ketika diperiksa, polis merampas empat paket plastik berisi dadah seberat 1,810 gram bernilai RM24,250,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, di sini hari ini.

Menurut Soffian, hasil soal siasat polis kemudian menyerbu sebuah rumah kampung yang disewa pasangan terbabit di Kampung Bukit, Bayan Lepas yang dijadikan sebagai makmal memproses heroin.

“Rumah ini dipercayai dijadikan makmal memproses dadah heroin sejak awal Januari lalu oleh pasangan suami isteri ini. Mereka juga disyaki menambah pil yaba di dalam heroin yang diproses ini untuk meningkatkan kekuatan heroin yang dihasilkan,” jelasnya polis turut menemui pelbagai jenis dadah, bahan kimia dan peralatan untuk menghasilkan heroin di rumah berkenaan.

Soffian memberitahu, hasil risikan mendapati sindiket membekalkan dadah untuk pasaran tempatan dan jumlah rampasan dadah boleh digunakan seramai 24,197 orang penagih.

“Kita masih siasat bagaimana mereka boleh menghasilkan dadah ini dan ujian saringan awal air kencing mendapati hanya suspek lelaki positif dadah selain mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM108,330.

Tambahnya, kedua-dua tangkapan ditahan reman selama enam hari dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada formula dadah serta bahan mentah bagi menghasilkan heroin itu diperoleh daripada sindiket lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI