PETALING JAYA – Kutipan tol di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) akan dikenakan kepada pengguna bermula 12.01 tengah malam ini.
Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) berkata, kutipan tol itu melibatkan jajaran fasa satu iaitu dari Persimpangan Cheras–Kajang hingga Persimpangan Bukit Antarabangsa yang telah dibuka kepada pengguna pada 16 September 2022 lalu.
“Bayaran akan dikenakan kepada pengguna yang melalui Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang dengan kadar tol mengikut kelas kenderaan.
“Bagi kelas 1 (Kereta) bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM2.30, kelas 2 (Lori) RM4.60, kelas 3 (Treler) RM6.90, kelas 4 (Teksi) RM1.20, dan kelas 5 (Bas) RM2.30,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu katanya, kutipan tol akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan RFID.
“Sehubungan dengan itu, pengguna disarankan agar memastikan baki kad Touch ‘N Go dan e-wallet adalah mencukupi sebelum memasuki lebuh raya berkenaan.
“Pada masa sama, bahagian operasi Suke akan sentiasa memantau kelancaran sistem kutipan tol di kedua-dua plaza tol selain menempatkan petugas di lorong plaza tol kedua-dua arah lebuh raya terutama pada waktu puncak bagi membantu pengguna yang menghadapi kesulitan,” ujarnya.
Selain itu katanya, pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan keselamatan jalan raya dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui plaza tol bagi memastikan perjalanan yang lancar ke destinasi yang dituju.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan dengan menghubungi Suke hotline di talian 1-300-88-9922.
“Pihak syarikat berterima kasih atas sokongan dan maklum balas yang diterima sepanjang sebulan fasa 1 Lebuhraya Suke dibuka dan berharap akan meraih sokongan berterusan daripada pengguna untuk fasa operasi selanjutnya,” tambahnya.
Terdahulu, lebuh raya Suke ialah satu daripada enam lebuh raya kendalian Prolintas, pengendali lebuh raya terbesar di Lembah Klang. – KOSMO! ONLINE