ALOR SETAR – Hasrat seorang lelaki untuk menggembirakan isteri dan anaknya dengan membawa mereka bercuti ke Pulau Langkawi berakhir dengan kesedihan selepas diserang angin ahmar sebelum disahkan meninggal dunia, Selasa lalu.
Menurut Wan Nur Hasimah Wan Yusof, 37, dia, suami, Hazizan Hamisan, 41, dan anak mereka Muhammad Daiyan Atiq, 14, bersama enam ahli keluarga lain ke Langkawi pada 6 September lepas untuk bercuti selama empat hari.
“Suami mengadu tak sihat sebaik tiba di Langkawi sebelum tidak sedarkan diri dalam bilik hotel dua hari kemudian. Doktor sahkan dia koma dan terdapat pendarahan pada otaknya.
“Sejak hari itu saya berkampung di hospital. Pihak hospital juga ada buat dua pembedahan untuk buang nanah pada limfa yang rosak selain tebuk di leher,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, keadaan arwah kemudian stabil, namun Allah lebih menyayanginya apabila menghembuskan nafas terakhir selepas subuh, Selasa lalu.
“Walaupun masih bersedih, saya sekeluarga reda dengan ketentuan takdir ini.
“Ini adalah percutian pertama kami selepas Perintah Kawalan Pergerakan. Kami ambil masa berbulan-bulan untuk rancang dan kumpul wang. Arwah kumpul wang menjual tanjak di pasar setiap malam selama sebulan.
“Akhirnya, dia berjaya jual lebih 200 tanjak. Memang hasratnya untuk gembirakan saya dan anak. Mengingati perkara itu saya jadi amat sedih,” katanya.
Lebih menyayat hati katanya, ini kehilangan ketiganya selepas kehilangan ibu bapa, Wan Yusof Wan Abdullah, 63, dan Aminah Yaakub, 59, yang meninggal dunia selang setengah jam akibat jangkitan Covid-19.
Wan Nur Hasimah turut berterima kasih kepada semua pihak yang menguruskan semua urusannya ketika berada di Langkawi termasuk membawa pulang jenazah suami ke Port Dickson, Negeri Sembilan untuk dikebumikan pada hari sama.
“Alhamdulillah banyak yang membantu saya. Saya tidak ada pendapatan tetap cuma bekerja sambilan saja sebagai kerani akaun.
“Untuk urusan bawa pulang jenazah diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Skuad Jenazah dengan menggunakan bot. Cuaca di laut sepanjang perjalanan baik saja dan 45 minit kami sampai di Kuala Perlis dan sudah ada van jenazah menanti,” jelasnya.
Tambahnya, jenazah arwah suami selamat dikebumikan di Perkuburan Islam Taman PD Utama, Port Dickson.