JAKARTA – Penyanyi dangdut Lesti Kejora tiba-tiba muncul di Balai Polis Metro Jakarta Selatan selepas suaminya Rizky Billar ditetapkan sebagai tertuduh dan ditahan reman selama 20 hari bagi membantu siasatan.
Kedatangan Lesti pada malam Khamis bersama ayahnya, Endang Mulyana dan peguamnya, Sandy Arifin melalui pintu belakang dengan kawalan ketat.
Penyanyi itu bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang tujuan kehadirannya ke balai polis
Bagaimanapun, Rizky yang muncul dengan baju tahanan berwarna oren itu sempat memberitahu isterinya datang untuk menarik balik laporan polis terhadapnya.
“Isteri saya datang untuk tarik balik laporan” ujarnya kepada media ketika diiring ke ruang tahanan.
Sementara itu, jurucakap polis Endra Zulpa mengesahkan kehadiran Lesti bukan sahaja untuk bertemu suaminya malah ingin menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini.
“Pihak Lesti tiba-tiba datang dan ingin menarik balik laporan polis yang dibuat. Saya belum dapat keterangan rasmi daripada mereka, jika mahu tarik balik silakan sahaja.
“Itu hak mangsa, tapi polis juga ada prosedur dan prosesnya,” ujar Endra seperti dipetik Kapan Lagi.
Selain itu, peguam Rizky, Surya Darma Simbolon turut mengesahkan Lesti sudah menandatangi surat menarik balik laporan polis.
“Sudah ditarik balik, surat sudah ditandatangi dan diserahkan kepada polis. Alasannya sangat peribadi,” ujarnya.
Sebelum ini, Lesti membuat laporan polis dan mendakwa dipukul suaminya pada 28 September 2022, kira-kira pukul 1.51 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB) di kediaman mereka, Cilandak, Jakarta Selatan.
Penyanyi lagu Sekali Seumur Hidup itu mendakwa suaminya berlaku curang sehingga berlaku pergaduhan antara mereka.
Rizky didakwa bertindak agresif dengan memukul dan mencekik isterinya sehingga terjatuh ke lantai.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2021 dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar.