PENGHARAMAN sementara konsert terbuka di Kedah sehingga satu prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan semula tidak menjejaskan perancangan Astro Warna membawa program Sepahtu Reunion Live Tour ke negeri tersebut pada 11 dan 18 November depan.
Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd. Salleh berkata, konsep program lawak itu sendiri jauh berbeza dengan konsert, malah lokasi pula di tempat tertutup iaitu Stadium Sultan Abdul Halim yang membolehkan pihak produksi mudah menyelia perjalanan acara.
“Pihak kami maklum dengan perkembangan terbaharu mengenai pembatalan sementara penganjuran konsert di negeri itu seperti yang diumumkan baru-baru ini.
“Selepas merujuk semula kepada pihak berkaitan, dimaklumkan segala persediaan yang sudah mendapat kelulusan pelbagai agensi sebelum ini dapat diteruskan mengikut jadual.
“Sepahtu Reunion Live Tour ini bukan konsert, sebaliknya rancangan lawak yang diadakan di hadapan penonton dan disiarkan secara langsung terus ke khalayak di rumah selain punya rekod bersih.
“Kami yakin tiada masalah berbangkit kerana semuanya mengikut SOP (prosedur operasi standard) dan menepati syarat permit biarpun ini julung kali diadakan di luar ibu negara,” katanya ketika pelancaran program Sepahtu Reunion Live Tour, baru-baru ini.
Terdahulu, penangguhan konsert di negeri itu dihentikan sementara bagi memastikan insiden pengunjung terkinja-kinja menari dan bersorak di luar kawalan sehingga tular di Art Loq Staq Festival: Muda Mudi Weekend Fest tidak lagi berulang.
Kerajaan negeri mengarahkan sebarang aktiviti konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila dalam kalangan pengunjung tidak dibenarkan diadakan di seluruh negeri itu.
Sementara itu Sepahtu Reunion Live Tour masih mengekalkan konsep asal persembahan sitkom, konsep jelajah yang julung kali ini membariskan anggota Sepahtu iaitu Jep, Rahim, Ilya Buang atau Pak Ya dan Ebby Yus.
Selain Kedah, Sepahtu yang sudah sedekad mengekalkan momentum di arena hiburan bakal memulakan jelajah di Pasir Gudang, Johor pada 14 dan 21 Oktober disusuli Gong Badak, Terengganu (28 Oktober dan 4 November), sebelum ke Kedah.
Akui Norzeha, matlamat membawa Sepahtu ke lokasi diumumkan adalah berikutan permintaan penggemar program tersebut sekali gus mendekatkan mereka dengan penyokong di seluruh negara.
“Ikut perancangan memang hajat ini sudah lama disimpan, namun situasi pandemik membuatkannya perancangan hanya dapat direalisasikan dalam tahun ini.
“Malah kami juga mahu lebih banyak lagi lokasi dikunjungi, mungkin untuk tahun akan datang Sepahtu dapat menemui penonton di lebih banyak negeri lain.
“Buat penampilan pertama ini, kami turut bawakan ramai artis jemputan termasuk Erra Fazira, Uqasha Senrose, Siti Elizad dan ramai lagi,” katanya.
Setakat ini tiada sebarang perubahan tarikh membabitkan kemunculan Sepahtu di ketiga-tiga negeri berikutan pengumuman pembubaran Parlimen pada Isnin.
Katanya, semua lokasi pilihan untuk jelajah tersebut tidak terbabit dengan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) malah penutup jelajah juga berakhir pada awal November, bukan hujung tahun seperti disebut-sebut sebagai tarikh PRU15.
Mengenai jualan tiket, hanya 30 peratus tempat duduk dibuka pada kadar berpatutan, bukan semata-mata mengaut keuntungan.
Tiket-tiket berharga antara RM20 hingga RM50 mengikut kategori tempat duduk kini boleh didapati dengan melayari laman web www.ticket2u.com.my.