PETALING JAYA – Negara bakal memasuki tahun 2023, namun sikap segelintir individu yang gemar membuang sampah merata-rata masih belum dapat dibendung.
Lebih teruk, apabila sampah tersebut hanya dicampak dari atas ke bawah sesuka hati tanpa memikirkan kesannya kepada orang lain.
Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok menggunakan akaun @piqahhhhs meluahkan rasa kecewa dengan sikap penghuni flat apabila sampah yang dibuang dari aras penghuni telah menyebabkan cermin kereta bapanya pecah.
Menurut wanita tersebut, bapanya telah menghabiskan sekitar RM500 untuk membersihkan serta membaiki semula kerosakkan pada kereta.
Jelasnya lagi, kejadiaan tersebut tidak berkait dengan sebarang isu khianat seperti mana yang didakwa segelintir pihak, namun sikap manusia ‘tidak bertamadun’ adalah punca ramai penghuni lain tanggung rugi.
“Disebabkan penghuni flat yang tiada sivik baling sampah dari atas punya pemalas nak turun buang sampah, tengoklag siapa yang kena tanggung,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai pengguna lain turut berkongsi pengalaman mereka berdepan dengan isu ‘sampah terbang’.
“Aku pun dok kawasan flat, memang ada manusia jenis campak sampah dari atas ja, ada ikut tingkap buang sisa makanan macam itu sahaja, punya pengotor perangai manusia macam itu,” luah Anatasia.
“Pernah kene macam ini masa dalam perjalanan balik dari hantar makanan pelanggan, nasib baik sempat elak kalau tak ‘ranap’,” kongsi Rosi. – KOSMO! ONLINE