PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU(PBB), New York – Perhimpunan Agung PBB mengambil keputusan majoriti mengutuk tindakan Russia merampas beberapa wilayah Ukraine dalam langkah yang disifatkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sebagai mesej jelas buat Moscow.
Perhimpunan Agung meluluskan resolusi tersebut dengan 143 negara menyokong dan lima menentang, bagaimanapun 35 negara lain termasuk China, India, Afrika Selatan dan Pakistan memilih untuk berkecuali walaupun AS melancarkan usaha diplomatik meminta kecaman meluas ke atas Moscow.
Resolusi PBB itu mengutuk ‘penganjuran pungutan suara oleh Russia dalam sempadan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa sebagai milik Ukraine’ dan ‘rampasan haram’ empat buah rantau seperti diumumkan oleh Presiden Vladimir Putin bulan lalu.
Ia menggesa PBB dan agensi antarabangsa lain supaya tidak mengiktiraf perubahan sempadan Ukraine oleh Russia dan menuntut Moscow membatalkan keputusannya tanpa sebarang syarat.
“Pengundian resolusi ini menunjukkan bahawa Russia tidak boleh memadamkan sebuah negara yang berdaulat daripada peta dunia.
“Dengan menyerang Perlembagaan PBB, Russia telah menghancurkan teras kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa,” kata Biden dalam satu kenyataan White House.
Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield telah menggesa semua negara supaya menghantar mesej jelas bahawa dunia tidak akan menerima ‘perbuatan merampas tanah negara jiran secara kekerasan’.
“Hari ini Russia menyerang Ukraine, namun esoknya mungkin wilayah negara lain akan dicabuli. Ia mungkin negara anda. Anda mungkin sasaran seterusnya,” katanya.
AS melakukan usaha lebih untuk cuba memujuk Afrika Selatan dan khususnya India supaya menyokong resolusi tersebut. New Delhi mempunyai sejarah hubungan rapat dengan Moscow.
Keputusan pengundian kali ini pada dasarnya, sama seperti ketika Perhimpunan Agung mengutuk pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Mac lalu, melainkan tiga lagi negara bertindak mengecam Moscow.
Lima negara yang membantah resolusi PBB itu selain Russia termasuk Korea Utara, Nicaragua, Belarus dan Syria. – AFP