HULU SELANGOR – Niat baik seorang remaja menyelamatkan rakannya yang lemas bertukar tragedi apabila maut dalam kejadian di air terjun Serendah, di sini, hari ini.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa, Rajeshawaran Kumar, 19 disahkan meninggal dunia manakala rakannya berjaya diselamatkan.
Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu menerima panggilan pukul 1.20 tengah hari dan telah mengejarkan lima anggota ke lokasi kejadian.
“Laporan awal mendapati seorang lelaki tempatan lemas semasa mandi di sungai berkenaan yang datang bersama dua rakannya dari Bestari Jaya.
“Susulan usaha pencarian, mangsa ditemui di dasar sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Norazam, operasi turut dibantu oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) daripada BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang ekoran hujan lebat dan arus sungai yang deras.
“Pihak bomba berjaya membawa mangsa naik ke darat dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.