fbpx

Rebut kuasa, dendam punca pelajar dibuli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN.
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

TERTARIK penulis dengan isu buli apabila membaca luahan seorang ibu yang sedih apabila anaknya menjadi mangsa buli di sekolah. Sudahlah diejek, songkok yang dipakai juga di lambung-lambung oleh rakan sekelas.

Teringat penulis satu insiden yang berlaku di hadapan mata ketika menghadiri Hari Mesra Akademik di sekolah anak. Seorang pelajar tiba-tiba mengherdik seorang pelajar lain di hadapan ibu bapa tanpa rasa takut.

Bayangkan di hadapan kedua-dua orang tua pun si pembuli berani berkelakuan sedemikian apatah di belakang ibu bapa.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2017 mendapati, satu daripada enam remaja terlibat menjadi mangsa buli dan lelaki lebih banyak terlibat berbanding perempuan.

Jika dilihat pula kepada NHMS pada tahun 2019, sebanyak 424,000 kanak-kanak di Malaysia dilaporkan mengalami isu-isu berkaitan kesihatan mental dengan domain yang paling utama ialah masalah berinteraksi dengan rakan sebaya yang mana isu buli turut mempunyai kaitan dengan domain tersebut.

Isu buli ini seakan tidak mempunyai noktah tetapi ia boleh dielakkan dengan pemantauan dan didikan yang sempurna daripada keluarga terutamanya ibu bapa selain pihak sekolah.

Menurut Kaunselor Berdaftar dan pengasas Nuur Counselling & Training Centre, Mahirah A. Rashid, setiap tindakan manusia sebenarnya dipengaruhi oleh faktor luaran dan dalaman, termasuk faktor yang menyebabkan sesetengah pelajar cenderung untuk membuli.

Katanya, bagi individu di bawah umur seperti pelajar, faktor luaran banyak mempengaruhi seseorang untuk menjadi pembuli seperti persekitaran, didikan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya dan pengaruh media.

“Pesatnya perkembangan internet dan kemudahan telefon tanpa kawalan membolehkan anak-anak meng­akses bahan-bahan yang memaparkan aksi ganas yang boleh menggalakkan berlakunya kes buli.

“Faktor dalaman yang boleh mencetus perbuatan membuli pula adalah seperti dendam, gaya berfikir, konsep kendiri yang rendah dan personaliti.

“Kes buli dalam kalangan pelajar juga kebanyakannya berlaku apabila pemangsa mempunyai niat bermusuhan, dendam dan kerana inginkan kuasa,” katanya.

Tambahnya lagi, antara faktor signifikan yang mendorong kepada sikap membuli adalah kerana lemahnya institusi kekeluargaan yang mana gaya keibubapaan dan persekitaran di rumah pen­ting dalam membentuk sikap anak-anak.

“Ibu bapa sewajarnya memperkukuhkan institusi kekeluargaan itu sendiri, terapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan agar anak-anak tidak terjebak dalam budaya yang negatif.

“Selain kasih sayang, didikan agama adalah benteng utama untuk melahirkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh dan akhlak mulia,” katanya.

Kongsinya lagi, sebagai ibu bapa, jangan pernah abaikan apabila anak ingin bercerita tentang apa yang sedang berlaku di sekolahnya.

Jika mendapati ada tanda-tanda seperti berlakunya buli terhadap anak-anak, ibu bapa perlu berikan lebih perhatian.

“Perhatikan juga sekiranya anak kita sendiri ada terlibat melakukan perbuatan membuli sama ada dalam keadaan sedar mahupun tidak sedar.

“Berikan panduan jika terjebak kerana menjadi mangsa buli atau pemangsa boleh memberi kesan terhadap kesihatan emosi, mental dan fizikal dalam kehidupan samada dalam tempoh yang pendek atau panjang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI