fbpx

Presiden persatuan pemburu maut perut tembus ditanduk kerbau satu tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CANALAS meninggal dunia sebelum tiba di hospital. – CEN

BUENOS AIRES – Seorang presiden persatuan pemburu di Mexico maut ditanduk seekor kerbau ketika menyertai aktiviti memburu di wilayah Entre Rios, tengah Argentina, lapor akhbar Daily Star semalam.

Mario Canales, 64, dan rakan-rakannya bersembunyi pada jarak 30 meter sebelum dia membidik senapang dan melepaskan tembakan ke arah haiwan seberat 1 tan itu.

Canales bagaimanapun gagal menumbangkan kerbau itu yang kemudian mengejar mereka.

Dia parah akibat ditanduk sebelum rakan-rakan pemburu lain melepaskan lima das tembakan dan membunuh kerbau liar itu.

Mangsa dimasukkan ke dalam sebuah trak dan dibawa ke hospital tempatan kerana tiada liputan telefon bimbit untuk menghubungi ambulans, lapor akhbar Argentina, Pagina 12.

Menurut laporan, mangsa meninggal dunia sebelum tiba di hospital selepas mengalami kejutan.

Bedah siasat mendapati Canales mengalami patah tulang tusuk dan retak sternum serta luka tusukan di perut.

“Kesedihan yang besar atas pemergian seorang lelaki yang hebat dan seorang kawan,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

Pejabat pendakwa raya Entre Rios membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu kerana aktiviti memburu kerbau adalah melanggar undang-undang perlindungan hidupan liar di wilayah itu.

Pihak berkuasa menyoal siasat tiga rakan yang mengembara bersama Canales dalam  rombongan memburu tersebut. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI