TAMPIN – Keputusan memeluk Islam sejak lebih empat bulan lalu sedikit pun tidak menghalang kasih sayang seorang anak bagi menjaga bapanya, Neo Bong Pen, yang menghidap strok.
Muhammad Neo Chin Swean, 38, berkata, dia membuat keputusan memeluk Islam selepas tertarik dengan kehidupan rakan-rakan sekerja ketika bekerja di Johor Bahru sebelum ini.
“Apabila pulang ke rumah, saya sering teringat rakan-rakan yang solat berjemaah, ada kalanya mereka akan mengaji. Setiap kali melihat mereka solat, hati saya tenang. Jadi saya buat keputusan peluk agama Islam.
“Ayah tak larang dan menganggap saya masih sama seperti anaknya. Ada kalanya setiap pukul 4 petang, saya akan ke surau berhampiran untuk solat bersama-sama penduduk dan mereka juga mesra mengajar saya solat,” katanya ketika ditemui di Taman Clonlee di sini baru-baru ini.
Terdahulu, mereka menerima kunjungan Pengerusi MCA Tampin, Koh Kim Swee dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Shen Deng Tampin, Wong Yee Seng yang menyampaikan bantuan berupa wang tunai.
Sebelum ini dua beranak tersebut juga disantuni oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan.
Muhammad berkata, dia telah menjaga bapanya, 69, sejak lebih tiga tahun lalu dan menggunakan sepenuhnya wang simpanan hasil bekerja sejak berusia 16 tahun.
“Wang simpanan saya pun sudah semakin habis, sebelum ini ayah saya memang tidak boleh bergerak, tetapi kini ayah makin sihat dan boleh berjalan, cuma bahagian badan kiri serta muka kiri masih senget.
“Saya akan tengok keadaan ayah sebelum bekerja semula. Buat masa ini, saya akan meneruskan rutin menjaga ayah dan menghadiri kelas agama di Pejabat Agama Islam Daerah Tampin untuk belajar solat dan bacaan dalam solat,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE