GLASGOW – Bintang Liverpool, Mohamed Salah bangkit melenyapkan kritikan apabila melakar nama sebagai penjaring hatrik terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara ketika membelasah Rangers 7-1 awal pagi semalam.
Salah cuma mengambil masa enam minit untuk meledak tiga gol bermula minit ke-75, 80 dan 81 selepas menggantikan Darwin Nunez pada minit ke-68 dalam perlawanan di Stadium Ibrox itu.
Rekod lama hatrik terpantas Liga Juara-Juara sebelum ini iaitu lapan minit dipegang oleh Bafetimbi Gomis ketika mewakili Lyon menewaskan Dinamo Zagreb pada 2011.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berharap kecemerlangan tersebut menjadi titik mula kebangkitan ‘mesin gol’ Mesir itu untuk kembali menjaringkan gol demi gol dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Kesemua gol hari ini sangat menakjubkan. Segala-galanya berjalan dengan sempurna. Ia secara tidak langsung kembali memulihkan semangat pasukan.
“Kita semua tahu Manchester City adalah lawan kami pada Ahad ini. Ini adalah petanda positif untuk kami mengharungi perlawanan itu dengan penuh keyakinan,” kata Klopp.
Selain hatrik Salah, penyerang Liverpool, Roberto Firmino turut menjaringkan dua gol pada minit ke-24 dan 55 selain masing-masing satu daripada Nunez (m-66) serta Harvey Elliott (m-87).
Liverpool kini berada di kedudukan kedua Kumpulan A dengan sembilan mata, enam mengatasi Ajax di tangga ketiga, manakala Napoli pula sudah mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati. – AGENSI