KUALA LUMPUR – Terdapat 127 alasan yang dikemukakan Datin Seri Rosmah Mansor mengapa Mahkamah Rayuan Putrajaya perlu mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta yang dikenakan ke atasnya selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga tuduhan rasuah berhubung projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.
Isteri bekas Perdana Menteri tersebut memfailkan alasan itu melalui petisyen rayuannnya oleh firma guaman Akberdin & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, dengan menyatakan beliau sepatutnya dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri kerana pendakwaan gagal membuktikan elemen dalam tiga tuduhan terbabit.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, melalui petisyen rayuan yang difailkan semalam itu, Rosmah menegaskan adalah mustahil bagi Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan merumuskan bahawa pembelaan peguam belanya adalah penafian kosong (bare denial).
Menurut Rosmah, dalam kes tersebut pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan prima facie terhadapnya mengenai wang RM1.5 juta yang kononnya diletakkan di dalam dua beg galas berstripe oren, sudah diserahkan atau sebaliknya.
Selain wang RM1.5 juta, Rosmah turut membangkitkan pendakwaan juga gagal membuktikan dia telah menerima dua beg bagasi berisi RM5 juta daripada saksi pendakwaan ke-21 di Seri Perdana.
“Bahawa wujud keraguan munasabah berkenaan jenis kereta yang dikatakan wang RM5 juta dalam dua beg bagasi dimasukkan, iaitu sama ada Vellfire atau Alphard selain wujud keraguan munasabah apabila buku log yang mencatatkan kehadiran tetamu di Seri Perdana tidak dijadikan keterangan di Mahkamah.
“Wujud keraguan munasabah apabila polis Unit Tindakan khas (UTK) yang berada di dalam kenderaan tersebut telah gagal dipanggil sebagai saksi Pendakwaan,” katanya.
Rosmah juga mengatakan, butler yang kononnya mengangkat dua beg galas berbelang oren berkenaan tidak dipanggil memberikan keterangan mahkamah, yang menjadikan perkara itu menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.
Sementara itu, Rosmah berkata, Mohamed Zaini gagal membuat rumusan yang betul apabila menyatakan dalam penghakimannya bahawa pembelaan beliau membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh diterima sebagai bukti kerana bekas perdana menteri itu tidak dipanggil memberikan keterangan.
Dalam pembelaan sebelum ini, Rosmah menegaskan dia takut akan kemarahan Najib dan tidak sekali-kali cuba mempengaruhinya, apatah lagi memaksa atau menasihatinya berhubung perkara berkaitan hal ehwal kerajaan.
Justeru, Rosmah berkata, Hakim Mohamed Zaini terkhilaf dan tersalah arah dari segi undang-undang dan fakta apabila memerintahkannya membela diri serta gagal memberikan alasan ketika memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. – KOSMO! ONLINE