KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang lelaki yang menipu seorang wanita untuk mendapatkan gelaran Datuk dari kerajaan Melaka dengan bayaran RM100,000, memakan diri apabila dia dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdullah Shafiq Abdul Rahman, 36, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 5 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan, Abdullah Shafiq didakwa menipu seorang peniaga wanita berusia 57 tahun dengan memperdayakannya supaya membuat bayaran sebanyak RM100,000 secara dalam talian ke akaun Maybank milik tertuduh.
Pembayaran itu bagi tujuan mendapatkan gelaran Datuk dari Melaka yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tun Ismail, di sini pada 4 Oktober lalu yang didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd. Apandi memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira keberanian tertuduh menggunakan nama Istana untuk melakukan penipuan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu, agar dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung isteri dan keluarga. – KOSMO! ONLINE